TUANKU MUHRIZ KESAL, DUKACITA PERBUATAN EKSPLOITASI KANAK-KANAK

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan rasa kesal dan dukacita dengan perbuatan mengeksploitasi kanak-kanak yang dilaporkan membabitkan sebuah organisasi, baru-baru ini.

Baginda berasa kesal dan dukacita apabila baru-baru ini tersebar berita mengenai sebuah organisasi yang berselindung di sebalik kebajikan Islam dilaporkan telah melakukan penderaan terhadap kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka dan mengeksploitasi kanak-kanak sebagai buruh. Ini adalah contoh perbuatan yang tidak seharusnya timbul dan ditonjolkan oleh umat Islam.

Baginda bertitah setiap umat Islam sebaliknya harus menunjukkan nilai Islam sebenar dalam amalan kehidupan seharian seperti keikhlasan, kejujuran, amanah, keadilan, perpaduan dan persaudaraan, kesederhanaan serta saling menghormati. Tuanku Muhriz bertitah Islam adalah agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan istimewa itu memberi peluang umat Islam menunjukkan kebesaran serta kesucian agama kepada masyarakat bukan Islam.

Baginda bertitah Islam tidak berbicara tentang dimensi akhirat semata-mata malah turut membincangkan persoalan keduniaan yang memacu manusia ke arah kebaikan sekali gus menjadikan Islam sebagai agama rahmat untuk sekalian alam. Tuanku Muhriz bertitah Islam juga adalah Al-Din (cara hidup diredai Allah) yang mementingkan perpaduan dan hubungan baik sesama manusia.

“Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT di dunia ini untuk membina perpaduan dalam kemajmukan masyarakat dengan menitikberatkan pertuturan yang baik serta memberikan teladan dalam setiap perbuatan baginda. “Sifat kepimpinan yang telah dipamerkan Rasulullah SAW membuktikan bahawa baginda sentiasa memberi keutamaan kepada keadilan sosial, kesaksamaan dan integriti moral dalam masyarakat.”

Justeru, baginda bertitah semua pemimpin dan segenap rakyat beragama Islam di negeri itu perlu terus berganding bahu memperkukuh perpaduan dan persaudaraan serta mengamalkan sikap tolong-menolong dan menghormati kaum lain. Jika kita menolong orang, mereka akan menolong kita. Jika kita menghormati orang, mereka juga akan menghormati kita.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

EVOLUSI SISTEM PEMBAYARAN TOL DI MALAYSIA (19802026)

Sistem pembayaran tol di Malaysia telah mengalami transformasi yang signifikan demi meningkatkan kecekapan pengurusan trafik. Berpandukan maklumat sahih Lembaga Lebuhraya …

KERAJAAN ARAH HENTI GUNA APLIKASI MILIK ISRAEL SERTA-MERTA

PUTRAJAYA – Kerajaan mengarahkan semua anggota perkhidmatan awam menghentikan penggunaan aplikasi navigasi yang berpangkalan Israel, Waze serta-merta. Arahan itu dimaklumkan …

REDANG ANTARA 6 PULAU UTAMA NEGARA ALAMI TEKANAN PERSEKITARAN SERIUS

KUALA LUMPUR: Enam pulau utama di negara ini termasuk Pulau Redang mengalami tekanan persekitaran yang serius dan kemerosotan kesihatan ekosistem …