Majlis Keselamatan Negara, Negeri Sembilan telah mengambil inisiatif untuk memperkukuhkan kerjasama dan persefahaman antara agensi keselamatan serta rakan strategik di bawah Jawatankuasa Geraksaraf dan Perangsaraf Negeri (JKGSPSN) menerusi Program Eksplorasi Bukit Batu Putih sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 pada 12 September 2024. Program ini turut dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara, Negeri Melaka serta agensi JKGSPSN di bawahnya.
Pemilihan ahli JKGSPSN Negeri Sembilan dan Melaka adalah bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dan memperkukuhkan sinergi antara ahli JKGSPSN memandangkan terdapat ramai ahli baru yang baru menyertai JKGSPSN dan memerlukan pendedahan cara dan budaya kerja di bawah JKGSPSN.
Program ini juga bertujuan memberi pendedahan kepada ahli baru JKGSPSN berkenaan pengurusan dan hubungan baik antara ahli secara santai untuk memudahkan komunikasi sepanjang melaksanakan tugas secara bersama. Selain itu ia dapat memberi pendedahan kepada ahli JKGSPSN bagi mendapatkan pengetahuan baru mengenai pengoperasian rumah api yang dikawal selia oleh Jabatan Laut Malaysia dalam memastikan kelancaran dan keselamatan laluan maritim di Negeri Sembilan dan Melaka. Ia juga dapat memberi peluang kepada semua ahli JKGSPSN untuk menghargai alam sekitar dan memastikan kelestarian alam sekitar terjaga khususnya di kawasan tumpuan awam seperti di Bukit Batu Putih.
Diharapkan kerjasama seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan pengisian yang lebih menarik dan penglibatan lebih ramai ahli JKGSPSN.