30,000 PENGUNJUNG DIJANGKA HADIR PADA SAMBUTAN HARI MALAYSIA

JELASKAN: Christina (tengah) ketika dalam sidang media itu.

KOTA KINABALU: Sejumlah 30,000 pengunjung dari pelbagai latar belakang dijangka akan memeriahkan sambutan Hari Malaysia yang diadakan di sini pada 16 September ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, acara yang diadakan di Padang Merdeka akan diisi dengan program yang akan menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan pengunjung.

“Antaranya ialah upacara Pecah Bendera Tuan Terutama oleh Pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia, Tarian Sambut Tamu ‘Heart of Sabah’, upacara Menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2024 oleh Premier Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan Perdana Menteri yang akan disaksikan oleh saya dan Fahmi Fadzil selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Hari Malaysia 2024.

“Selain itu, terdapat upacara Memotong Kek Hari Malaysia, acara Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan upacara Serah Jalur Gemilang,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Christina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api berkata, salah satu acara kemuncak sambutan tahun ini ialah persembahan istimewa bertajuk ‘Rumah MADANI Jiwa Merdeka’

Katanya, persembahan itu akan menampilkan pelbagai aspek kejayaan Malaysia yang mencerminkan keteguhan perpaduan, dinamik kemajuan dan transformasi negara.

“Persembahan ini akan dipecahkan kepada lima segmen menarik, iaitu Negaraku, Perpaduan, Dinamik Kemajuan, Transformasi Negara dan Jiwa Merdeka.

“Antara kumpulan kesenian yang terlibat termasuklah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Borneo Art, Satelit, Art UMS, SK Sembulan dan Ngalay.

“Artis tempatan Sabah yang terlibat seperti Elica Paujin, Nick Arddley, Den Bisa, Yico Wong, Dhania dan Rosario Bianis,” katanya.

Christina berkata, sementara menanti acara utama dilaksanakan, penganjur turut menyediakan acara prapersembahan yang bermula seawal 5 petang sehingga 7.30 malam.

Katanya, antara artis jemputan khas yang terlibat ialah Akim, Stacy, Amir Jahari, Gary Chaw dan Faizal Tahir.

Sementara itu katanya, acara sampingan sempena sambutan berkenaan adalahΒ  pameran, bazar jualan, pertandingan nyanyian lagu patriotik, pertandingan mencari harta karun di arkib negeri dan balai seni lukis, night at the archives, pertandingan e-sport, kuiz kenegaraan dan pertandingan melukis berkonsepkan tema ‘Malaysia MADANI, Jiwa Merdeka’

Dalam pada itu, Christina mengajak seluruh rakyat Malaysia, terutamanya warga Sabah, untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan itu.

“Sambutan Hari Malaysia bukan sekadar perayaan, ia adalah pengiktirafan terhadap identiti dan jati diri kita sebagai bangsa yang berbilang kaum tetapi bersatu hati.

“Marilah kita bersama-sama menghayati semangat Hari Malaysia dengan penuh keinsafan dan kebanggaan,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

Β 

Sumber:Β  Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut