Pesara kerajaan kerugian RM91,060 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 85 tahun itu menerima pesanan iklan melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali pada 29 Oktober lalu. Menurutnya, mangsa ditawarkan pakej pelaburan ‘Madinah Emas’ yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam masa singkat.
Modus operandi scammer adalah dengan menawarkan pakej VIP (orang kenamaan) dengan modal RM500 dan dijanjikan pulangan untung sebanyak RM15,800 dalam tempoh empat jam. Akibat gelap mata, mangsa membuat pemindahan wang sebanyak 26 kali ke enam akaun bank berasingan seperti diarahkan suspek.
Mangsa yang menunggu sekian lama berasa kecewa kerana tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan lalu membuat laporan polis pada Isnin lalu. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Orang ramai diingatkan tidak mudah terpedaya dan membuat semakan dengan pihak berkaitan sebelum membuat pelaburan yang menjanjikan pulangan besar dalam tempoh singkat. Pelbagai kempen dan peringatan mengenai scammer atau penipuan online ini dibuat kepada orang ramai dan masyarakat perlulah lebih peka serta cakna akan pesanan yang dibuat.
Hindari diri dari ditipu, jangan ambil jalan singkat untuk kaya. Fikir dulu sebelum melabur.