Harga minyak masak di Thailand yang mahal hingga mencecah RM8 sekilogram (kg) berbanding minyak masak bersubsidi di negara ini yang berharga RM2.50 per kg dipercayai punca kegiatan penyeludupan bahan itu masih berlarutan.
Selain faktor harga, majoriti penduduk di Selatan Thailand khususnya Narathiwat yang beragama Islam lebih menyakini status halal minyak masak keluaran Malaysia.
Minyak masak keluaran Thailand diperbuat daripada jagung dan harga lebih mahal berbanding minyak masak Malaysia yang diperbuat daripada kelapa sawit.
Kegiatan penyeludupan minyak masak di sempadan buat masa ini bagaimanapun semakin berkurangan hasil kerjasama padu KPDN bersama agensi lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Polis Marin.