ROMPIN, 7 SEPTEMBER 2024 : Juara Certiport’s Adobe Certified Professional World Championship 2024, Izzul Zafran Abd Razak, 20, tidak menyangka akan menerima penghargaan daripada Kerajaan Pahang menerusi kejayaannya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa pada pertandingan pensijilan profesional Adobe di Anaheim, California, Amerika Syarikat (AS).
Dia yang merupakan penuntut tahun akhir Politeknik Muadzam Shah, Rompin telah membawa pulang piala dan biasiswa pengajian berjumlah AS8,000 (kira-kira RM35,806) pada pertandingan itu turut merancang untuk memanfaatkan sumbangan Kerajaan Pahang bernilai RM10,000 bagi keperluan pendidikan.
“Saya sebenarnya tak sangka boleh dapat daripada Kerajaan Negeri Pahang iaitu Menteri Besar Pahang, saya pun tidak pernah dihargai seperti ini, semua ini rezeki dan syukur Alhamdulillah, terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan Menteri Besar Pahang.
“Duit ini saya gunakan 100 peratus untuk pendidikan, untuk saya sambung ijazah atau pun ada rezeki masa depan sambung master, saya dapat daripada pendidikan saya gunakan untuk pendidikan juga,” katanya.
Izzul Zafran berkata demikian ketika ditemui selepas menerima cek sumbangan Kerajaan Pahang yang disampaikan oleh wakil YAB Menteri Besar Pahang, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim pada Perasmian Karnival Makmur Pahang Peringkat Daerah Rompin di Pantai Hiburan, Kuala Rompin.
Pada awalnya, Izzul Zafran yang pertama kali menyertai pertandingan itu hanya mensasarkan kedudukan dalam kelompok sepuluh teratas namun tidak menyangka kemenangan menjadi miliknya selepas menewaskan 46 peserta lain dari seluruh dunia.
Pada Mei lalu, dia bersama dua lagi peserta dari Malaysia yang sebelum ini menduduki tempat pertama dan kedua dalam CCC’s Adobe Certified Professional Malaysia National Championship 2024 manakala Izzul Zafran pula di tempat ketiga telah melayakkan mereka menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa itu namun Izzul Zafran telah dinobatkan sebagai juara.
Izzul Zafran yang bercita-cita menjadi pensyarah kini mensasarkan kemenangan bagi VISCOM 23 iaitu pertandingan projek akhir Diploma Rekabentuk Grafik.
SUMBER: PAHANGMEDIA