Pelbagai barangan kosmetik timbang kilo yang dianggarkan bernilai RM624,994.70 termasuk cukai dirampas dalam serbuan di sebuah rumah terbiar di Kampung Bunohan, di sini.
Serbuan dibuat 18 Ogos lalu oleh Pasukan Marin Kastam Penguatkuasaan Pengkalan Kubor bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) hasil risikan dan intipan selama dua minggu.
Serbuan pada jam 3 petang itu mendapati pelbagai barangan kosmetik timbang kilo seperti krim, serum, sabun muka dan penyegar disimpan di dalam kotak yang ditemui di bahagian dapur rumah terbabit.
Barangan kosmetik itu dibawa masuk dari Thailand menerusi Sungai Golok menggunakan bot dan sudah terdapat individu yang sedia menunggu di tebing sungai untuk dibawa ke lokasi transit.
Rampasan itu adalah yang terbesar untuk tahun ini dengan nilai RM568,177 manakala cukainya adalah RM56,816.70.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan melindungi, menyimpan, menyembunyi atau mempunyai dalam milikannya apa-apa barang tak berkastam atau barang larangan.
Sumber: Harian Metro