KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), hari ini secara rasmi mewakilkan kuasa kepada Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan program Sabah-Malaysia Rumah Keduaku (Sabah-MM2H).
Ia berikutan penyerahan surat hasrat oleh Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman kepada Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri (KePKAS), Josie Lai Mei Sing, hari ini.
Penyerahan itu disaksikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, selepas pertemuan KePKAS dan MOTAC yang diadakan di Bilik Persidangan Kementerian, di sini, hari ini.
Pertemuan itu susulan mesyuarat khas di antara Christina dan MOTAC di Kuala Lumpur pada Julai lalu yang mana Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing memaklumkan mengenai penurunan kuasa penuh kepada Sabah untuk melantik ejen negeri bagi program Sabah-MM2H.
Christina berkata dengan perwakilan kuasa pelantikan ejen kepada negeri ini, program Sabah-MM2H akan berada di bawah pengurusan KePKAS.
“Pewakilan kuasa ini merujuk kepada pelantikan ejen oleh KePKAS, pemantauan ejen, dan penguatkuasaan program. KePKAS mempunyai garis panduan sendiri untuk pelantikan dan pengeluaran lesen kepada ejen.
“Ejen-ejen ini perlu mendapatkan lesen untuk beroperasi dan membantu pelanggan dalam memohon penyertaan dalam Sabah-MM2H.
“Kabinet Negeri telah meluluskan terma dan syarat untuk penyertaan dalam program itu,” katanya sambil menambah sebarang ulasan pada masa depan akan dirujuk kepada Kabinet untuk kelulusan.
Christina (tengah) menyaksikan Roslan (kiri) menyerahkan surat hasrat perwakilan kuasa kepada Lai untuk melaksanakan program Sabah-MM2H.
Katanya, jawatankuasa negeri yang menyelia operasi Sabah-MM2H dipengerusikan oleh menteri dan ia akan bermesyuarat secara berkala untuk menapis permohonan sebelum mengeluarkan pas MM2H kepada pemohon yang berjaya.
“KePKAS) sedang dalam proses menerima dan memproses permohonan ejen yang berkelayakan untuk pelantikan yang diperlukan,” katanya.
Program Sabah-MM2H diluluskan secara prinsip oleh Kerajaan Negeri pada Februari 2023 dan dilancarkan secara rasmi pada 30 Jun lalu.
Pada mesyuarat hari ini, Roslan menggesa mesyuarat tiga hala pada masa hadapan antara MOTAC, KePKAS dan Kementerian Pelancongan Sarawak untuk menyelesaikan sebarang isu yang timbul daripada pelaksanaan MM2H di Sabah dan Sarawak.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha MOTAC (Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan) Surya Kumar A/L Subramaniam; Timbalan Setiausaha Tetap KePKAS I, Mary Malangking; Timbalan Setiausaha Tetap II KePKAS, Alesia Sion; Pengarah MOTAC Sabah, Ibrahim Othman dan Penolong Setiausaha Kanan KePKAS, Norita Tani.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MknSabah
Sumber: INFO X