PELARI DENAI MENINGGAL DUNIA AKIBAT STROK HABA

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang mengesahkan kematian seorang lelaki berusia 20-an malam tadi disebabkan oleh strok haba.

Pengarahnya, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman, berkata mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.39 malam selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, kelmarin.

Katanya, berdasarkan laporan, lelaki itu menyertai program larian di sekitar Teluk Cempedak, di sini kelmarin.

“Mangsa dipercayai pergi ke Bukit Pelindung untuk aktiviti larian mendaki bermula pada jam 6.40 pagi, kelmarin.

“Mangsa dijumpai tidak sedarkan diri oleh orang awam di kawasan laluan trek pejalan kaki Hutan Bukit Pelindung pada jam 3 petang hari sama.

“Mangsa dikejarkan ke HTAA untuk rawatan lanjut dan tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAA dalam keadaan kritikal dan segera diberikan rawatan sebelum dimasukkan ke ICU.

“Keadaan beliau semakin tenat walaupun rawatan optima telah diberikan dan akhirnya menghembuskan nafasnya terakhir pada 9.39 malam tadi dengan sebab kematian adalah `heatstroke with multi organ failure’,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Rusdi berkata, JKN Pahang mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Katanya, kes itu adalah yang kedua membabitkan strok haba di Pahang tahun ini.

“Kes kematian pertama berlaku pada 2 Februari tahun ini membabitkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang sedang menjalani latihan di Bandar Jengka, Maran.

“Sehingga kini jumlah kes berkaitan cuaca panas yang dinotifikasi di Pahang tahun ini adalah 18 kes, masing-masing 14 kes membabitkan kelesuan haba dan empat kes strok haba dengan dua kematian.

“Menurut Jabatan Meteorologi, suhu harian bagi Pahang adalah dalam keadaan terkawal iaitu kurang daripada 35 darjah Celsius.

“Julat suhu pada hari kejadian adalah dalam lingkungan 24 hingga 33 darjah Celsius,” katanya.

Justeru, JKN Pahang menasihati orang ramai sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak komplikasi berikutan cuaca panas lebih-lebih lagi apabila beriadah atau menjalankan aktiviti luar.

Katanya, antara langkah yang boleh diambil adalah seperti minum air kosong secukupnya, kurangkan pengambilan minuman berkafein, pakai pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang, gunakan topi atau payung.

“Ia bertujuan untuk melindungi diri daripada pancaran haba matahari serta menggunakan pendingin hawa atau kipas untuk menyejukkan badan supaya kekal sihat di musim cuaca panas dan tidak menentu ini,” katanya.

SUMBER: BH

Artikel/Berita Terkini

WANITA MENGAKU TAK SALAH SEDIA KHIDMAT KLINIK GIGI HARAM

Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan iaitu menjalankan amalan pergigian dan menyediakan klinik …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

POLIS TEMBAK MATI 2 PENJENAYAH KES SAMUN, EDAR DADAH DI NILAI

Dua penjenayah bersenjata yang dipercayai terbabit dalam lebih 70 kes samun di tiga negeri mati ditembak polis di kawasan parkir …
Maklumat Lanjut