Tanaman kenaf mendapat permintaan tinggi di negara ini, namun kurang diusahakan berikutan tanah tidak diuruskan dengan baik.
Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Datuk Wan Ab Rahim Wan Abdullah, berkata, selain itu ada juga tanah terpaksa diutamakan dengan tanaman lain atas sebab tertentu.
“Contoh seperti sebelum ini apabila kita berdepan dengan krisis makanan, ada tanah yang sudah diperuntukkan untuk penanaman kenaf terpaksa ditanam padi bagi mengatasi krisis berkenaan.
“Selain itu, banyak juga tanah terbiar di seluruh negara tidak diuruskan dengan baik sedangkan tanaman kenaf sangat berpotensi untuk dimajukan,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Ab Rahim berkata, LKTN giat mempromosikan tanaman kenaf melalui program turun padang khususnya kepada pekebun kecil serta di lokasi yang tidak bersaing dengan tanaman lain.
“Kita menggesa lebih ramai pihak industri tampil untuk bekerjasama dengan pengusaha menerusi projek ladang kluster kenaf,” katanya.
Sumber: Harian Metro