KUCHING, 24 OGOS 2024 : Kontinjen Pahang berjaya mengatasi rekod pencapaian SUKMA Kuala Lumpur 2022 apabila memperoleh kutipan pingat keseluruhan sebanyak 77 dengan 23 emas, 23 perak dan 31 gangsa.
Pada SUKMA lepas, Pahang memperoleh 70 pingat dengan 22 emas, 21 perak dan 27 gangsa.
Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), YBrs Tuan Haji Zamri Hassan berkata, meskipun Pahang masih belum dapat mencapai sasaran yang ditetapkan pada kali ini namun beliau gembira kerana pencapaian ini adalah lebih baik daripada temasya sukan itu sebelum ini termasuk tiga rekod baharu dicipta oleh atlet menembak Pahang, Cheah Zen Hong, 18.
“Kita sudah pun berada pada hari terakhir tetapi dalam masa yang sama kita masih dapat mengatasi prestasi SUKMA terdahulu dengan pencapaian pingat, kita ada beberapa lagi sasaran pingat, InsyaaAllah kita akan mengatasi bilangan yang kita dapat pada 2022 dan mungkin kedudukan itu masih berada dalam keduduk kesembilan sebab kita lihat kita ada 108 acara yang kita tidak sertai dan kita telah pun kurang 108 pingat emas di situ.
“Walau bagaimanapun, sekali lagi terima kasih kepada Kerajaan Negeri, yang sentiasa memberikan komitmen dan menyokong penuh usaha-usaha yang dirancang oleh Majlis Sukan Pahang dan saya mengharapkan sokongan ini akan berterusan supaya pembangunan sukan di Negeri Pahang dapat diteruskan,” katanya.
Dalam pada itu, Tuan Haji Zamri berkata, MSP turut menyasarkan pembangunan sukan berprestasi tinggi di Pahang menjelang tahun 2030.
Beliau turut menyatakan rasa penghargaan dan terima kasih kepada semua warga kerja MSP yang bertungku lumus mengurus selia sepanjang temasya SUKMA Sarawak berlangsung agar perjalanan Kontinjen Pahang berjalan lancar.
“Sebenarnya kejayaan keseluruhannya adalah terletak kepada urusetia-urusetia daripada Majlis Sukan Pahang sendiri saya ucapkan syabas dan tahniah sebab seawal 6 Ogos kita dah berkampung meninggalkan keluarga dan bekerja sehingga lewat malam memastikan perjalanan atlet dan keseluruhannya berjalan dengan sangat baik,” katanya.
Pada SUKMA Sarawak XXI kali ini, Pahang telah menghantar seramai 564 atlet bagi menyertai 36 jenis sukan yang dipertandingkan dengan mensasarkan 40 pingat emas selain memperbaiki kedudukan ke tangga kelima berbanding kedudukan di tangga kesembilan pada SUKMA lepas.
SUKMA Sarawak XXI telah bermula pada 17 Ogos dan akan berakhir pada 24 Ogos depan dengan penyertaan daripada 13 kontinjen dari seluruh negara yang menyertai sebanyak 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.
SUMBER: PAHANGMEDIA