Ternyata ketika ini sekitar 2.5% perniagaan sahaja dikategorikan sebagai syarikat besar – peratusan itu secara jelas memaparkan Malaysia masih berdepan kekangan akan ruang yang mencukupi untuk menampung bakat ekonomi tempatan, termasuklah bakat bumiputera.
Selain ruang kemajuan, keterbatasan modal serta sokongan ekonomi di peringkat awal juga diperhatikan terhad dalam struktur ekonomi negara. Situasi ini sekaligus menyebabkan kumpulan Bumiputera terus terhimpit dalam kepompong kelas menengah dan sekadar tertumpu pada aktiviti ekonomi yang miliki nilai tambah rendah.
Maka untuk menutup jurang tersebut, pentadbiran negara minggu ini secara rasminya memperkenalkan PuTERA35. Jadi apa kepentingan pelan ekonomi ini buat Bumiputera? Mengapa ia menjadi antara rangka ekonomi penting buat negara?
Apa Itu PuTERA35?
Selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) kini negara mula memperkenalkan Pelan Transforformasi Ekonomi Bumiputera 2035 atau PuTERA35 iaitu sebuah rangka hala tuju negara dalam membangunkan sosioekonomi Bumiputera bagi jangka masa panjang di bawah pemantaun Majlis Ekonomi Bumiputera. Pelan 11 tahun ini diperincikan menerap 3 matlamat utama iaitu;
- Membangunkan Bumiputera bercirikan dinamik dan futuristik yang mampu depani isu serta cabaran semasa;
- Tetapkan sasaran lebih jelas dalam tahap penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi; dan
- Bangunkan kaedah pemantauan yang lebih cekap menerusi pihak bertanggungjawab dalam setiap peringkat penguatkuasaan.
Bagi merealisasikan matlamat tersebut, turut diperincikan terdapat 12 pemacu dan 132 ikhtiar telah digariskan untuk mencapai kemajuan dalam struktur sosioekonomi kalangan Bumiputera.
Selain 70% Terlibat Dalam Tenaga Mahir – Menjelang 2035 Disasar 75% Isi Rumah Bumiputera Perlu Miliki 1 Unit Rumah
Malah pentadbiran menerusi Kementerian Ekonomi turut memaklumkan pelaksanaan PuTERA35 ini akan dijalankan pada 3 fasa iaitu fasa pendek bagi tempoh 2024-2026, fasa sederhana bagi tempoh 2024-2030 dan fasa panjang 2024-2035.
Maka pada tempoh itu, terdapat beberapa input yang wajar dicapai negara dalam memajukan status sosioekonomi Bumiputera menjelang 2035 – antaranya 70% haruslah terlibat dalam pekerjaan Mahir, 30% pemilikan ekuiti individu dan agensi mandat Bumiputera, 20% penyertaan dan penguasaan Bumiputera melalui ekuiti GLC dan GLIC, 0% miskin tegar, 97% siswazah Bumiputera dalam pasaran tenaga negara, 75% isi rumah Bumiputea perlu miliki seunit kediaman dan beberapa sasaran lain.
Terdapat 11 Sektor Ekonomi Berpotensi Majukan Status Bumiputera
Gagasan rangka ini turut memperincikan terdapat 11 sektor ekonomi yang berpotensi memajukan status sosioekonomi Bumiputera negara. Pemilihan sektor tersebut dilihat turut miliki nilai tambah yang tinggi bagi merapatkan jurang pendapatan yang didepani Bumiputera negara. Ianya melibatkan;
- Peralihan Tenaga
- Teknologi dan Digital
- Elektrik dan Elektronik
- Pertanian dan Industri Asas Tani
- Nadir Bumi
- Halal dan Makanan
- Perkhidmatan Profesional Berteraskan Kewangan Islam
- Logistik
- Pelancongan
- Khidmat Jagaan
- Modal Teroka dan Ekuiti Persendirian
Isu Yang Didepani Bumiputera Ketika Ini
Biarpun Bumiputera telah memaparkan peningkatan dalam aspek sosioekonomi dalam tempoh 6 dekad ini – namun masih terdapat beberapa faktor utama yang terus dilihat memiliki kekangan melibatkan bakat, pendidikan dan pemilikan ekuiti dan penciptaan kekayaan.
Pada isu bakat, Bumiputera menjadi antara kumpulan yang terus berdepan ketidaksepadanan kelayakan dalam peluang pekerjaan negara. Di mana peratusan penyertaan dalam industri benilai tinggi dan kategori mahir dilihat masih rendah. Malah peratusan pengangguran kalangan belia juga kekal tinggi. Situasi dibuktikan apabila hanya 39.1% melibatkan Bumiputera dalam landskap PMKS negara iaitu 354,704 daripada 907,200 perusahaan di pasaran negara mengikut data 2015 oleh SME Corp.
Sementara itu, antara isu pendidikan yang didepani Bumiputera adalah merekodkan kemerosotan minat dalam STEM serta penguasaan bahasa asing yang lebih rendah. Situasi ini secara jelas merendahkan lagi tahap kebolehpasaran pelajar kalangan Bumiputera di pasaran semasa.
Manakala berkaitan isu pemilikan ekuiti dan penciptaan kekayaan pula memperincikan prestasi yang tidak konsisten apabila mencapai 18.4% sahaja setakat 2020. Malah setakat 2022, Bumiputera hanya mewakili 7% daripada syarikat tersenarai awam iaitu 62 syarikat daripada 945 syarikat dalam Bursa Malaysia.
Lebih membimbangkan aspek simpanan untuk persediaan hari tua nanti turut memaparkan tahap rendah kalangan Bumiputera. Menurut KWSP, Bumiputera menjadi kumpulan yang miliki purata simpanan ahli paling rendah berbanding Cina dan India untuk setiap peringkat umur.
Persekitaran itu secara jelas memperlihatkan masih banyak ruang akses yang harus disediakan untuk menutup jurang tersebut.
PuTERA35 – Manfaatkan Bumiputera Tanpa Menepikan Hak Kaum Lain
Secara menyeluruhnya sekiranya rangka ekonomi ini berjaya direalisasikan – ia secara langsung tidak sekadar menoktahkan peratusan kumpulan pendapatan rendah tetapi turut akan membantu negara meraih status negara maju.
Ini bermakna, pelan PuTERA35 tidak hanya memberi faedah kepada Bumiputera semata bahkan ia akan membawa manfaat kepada struktur ekonomi secara menyeluruh. Kementerian Ekonomi menjamin rangka ekonomi ini tidak akan menepikan hak kaum lain sebaliknya akan terus meluaskan peluang dalam pasaran secara berperingkat – libatkan permintaan domestik mahupun antarabangsa.