Bandaraya Melaka – Tangga pengeluaran industri sawit negara akan terus terkebelakang sekiranya tiada langkah penanaman semula diperluaskan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, usaha tersebut perlu dilaksanakan agar pengeluaran sawit negara tidak senasib dengan industri pengeluaran getah.
Rentetan itu, pihaknya menyarankan satu langkah proaktif perlu dilaksanakan Koperasi Pekebun Sawit Mampan (KPSM) di bawah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) supaya usaha memajukan dan melaksanakan penanaman semula ladang terbiar diperluas.
“Peranan pekebun kecil ini amat besar kerana sebanyak 1.5 juta hektar ladang kelapa sawit sangat penting kepada negara, namun kita dapati pengeluaran ini menurun dari 29.6 juta tan metrik kepada 18.5 juta tan metrik sejak 10 tahun lalu.
“Antara sebabnya adalah kita tidak melaksanakan penanaman semula mengikut piawaian yang ditetapkan di mana setiap tahun negara memerlukan sekitar empat hingga lima peratus penamanan semula ini perlu dilakukan.
“Tetapi di negara ini kita hanya ada 1.8 peratus sahaja, kita tertinggal ke belakang. Sebab itulah kita nak pastikan pekebun kecil terutama yang telah berumur dan tidak berminat untuk melaksanakan penanaman semula, di mana kerajaan akan bantu mereka untuk melaksanakan usaha ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pekebun Kecil Sawit Kebangsaan (PKPKS) diadakan di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong; Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Mengulas lanjut, Johari menzahirkan harapan agar 70 KPSM yang ditubuhkan seluruh negara turun padang mendekati pekebun kecil untuk menggalakkan mereka menjalankan penanaman semula ladang terbiar.
Katanya, terdapat sekitar 1.7 juta hektar tanaman sawit yang berusia lebih 19 tahun di negara ini dan sekiranya tidak ditangani segera ia akan memberi impak yang cukup besar terhadap pengeluaran dan eksport negara.
“Setakat ini kita menerima permohonan mencecah hampir 5,900 hektar dan menyasarkan lebih kurang 9,000 hektar secara keseluruhan.
“Bagi merealisasikan hasrat ini kita akan memohon melalui Kementerian Kewangan untuk tanam semula 9,000 hektar itu dalam memastikan pengeluaran kelapa sawit kita tidak menurun memandangkan ia merupakan eksport utama negara dengan nilai lebih RM100 bilion,” katanya.
Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)