KOTA KINABALU: Semua guru agama Islam di Sabah perlu mendapat tauliah mengajar yang dikeluarkan melalui Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata tauliah itu penting bagi memastikan penyampaian guru agama di negeri ini memenuhi kualiti yang ditetapkan.
“Kaedah ini diguna pakai bagi memastikan agenda yang menyimpang dapat dikawal.
“Ia juga bagi memastikan keharmonian hubungan antara kaum dalam masyarakat di negeri ini dapat dijaga daripada diganggu anasir yang tidak baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Jelajah Madani Ulama’ dan Umara’ (JMUU) Peringkat Negeri Sabah 2024, di sini, hari ini.
Arifin dan Mohd Naim menyaksikan penyerahan peruntukan buku teks KAFA pada Program Jelajah Madani Ulama dan Umara (JMUU) di Wisma MUIS.
Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif selaku menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama di negeri ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam.
Ketua Menteri juga meminta agar semua pihak dapat mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat termasuk mendidik golongan muda ke arah kebaikan.
“Sesungguhnya, cabaran dalam mendepani gelombang perubahan zaman yang melanda ummah pada hari ini amat besar.
“Oleh itu, kepentingan peranan ulama dan umara atau pemimpin tidak dapat dinafikan dalam memastikan kesejahteraan serta keharmonian masyarakat.
“Keprihatinan terhadap kepentingan semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang amat penting dalam memastikan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan perpaduan dapat direalisasikan.
“Adalah menjadi tanggungjawab setiap guru agama di negeri ini untuk memahami, menghayati dan bersemangat waja mendidik masyarakat untuk terus celik kepada ilmu agama agar amalan seharian masyarakat berpandukan syariat Islam,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata Program Jelajah Madani Ulama dan Umara (JMUU) membantu merancakkan lagi kelas-kelas pengajian agama khususnya di masjid dan surau di negeri ini.
Arifin menyampaikan anugerah Tokoh Guru KAFA Mithali kepada Norsia Ag Tanga.
Beliau berkata dalam masa sama ia juga dapat menjadi medium perkenalan dan penyatuan semua guru agama di negeri ini.
“Sesungguhnya, kerja-kerja dakwah dan mendidik masyarakat bukanlah suatu tugas yang ringan dan mudah.
“Setiap masa, guru-guru dan pendakwah akan menerima berbagai cabaran dan mehnah yang silih berganti.
“Oleh itu, program sebegini diharapkan dapat memberikan motivasi dan suntikan semangat baharu kepada seluruh yang hadir,” katanya.
#MalaysiaMadani
#KeselematanNegaraTanggungjawabBersama
#MknSabah
#BKN2024
Sumber: Utusan Borneo Online