Kerajaan berhasrat untuk melaksanakan e-Invois secara berperingkat bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran percukaian negara dalam usaha menyokong pertumbuhan ekonomi digital. Pelaksanaan ini adalah selaras dengan strategi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), di mana fokus diberikan kepada pengukuhan infrastruktur perkhidmatan digital dan pendigitalan pentadbiran cukai. Melalui transformasi digital dalam pentadbiran percukaian, pelaksanaan e-Invois merupakan salah satu inisiatif dalam meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kawalan pengurusan cukai serta kewangan.
e-Invois merupakan representasi dalam bentuk digital bagi transaksi yang dilaksanakan antara penjual dan pembeli bagi menggantikan penggunaan dokumen kertas atau elektronik seperti dalam format pdf, jpeg, doc. dan lain-lain. Ia mengandungi maklumat penting yang sama seperti dokumen tradisional seperti butiran penjual dan pembeli, keterangan item, kuantiti, harga tanpa cukai, cukai dan jumlah keseluruhan yang merekodkan data transaksi untuk operasi perniagaan harian.
Seluruh dunia beralih ke arah e-Invois
e-Invois telah diperkenalkan di beberapa negara lain sejak tahun 2001 termasuk Chile, Brazil, Mexico, Denmark, Itali, Perancis, Arab Saudi, Mesir, Korea Selatan, Singapura, China dan lain-lain. Selari dengan pendigitalan, pentadbir percukaian di seluruh dunia sedang beralih ke arah e-Invois bagi pematuhan cukai terutamanya Centralised Clearance Model, iaitu model Continuous Transaction Control (CTC) memandangkan kesahihan data invois disahkan sebelum dikeluarkan kepada pembeli. Dijangka lebih daripada 13 negara seperti Belgium, Jerman, Denmark, Bahrain, Oman, dan lain-lain akan memperkenalkan Clearance Model menjelang 2027.
Pelaksanaan e-Invois di Malaysia
Pelaksanaannya di Malaysia akan melibatkan pengeluaran invois bagi transaksi perniagaan yang dilakukan antara perniagaan dengan perniagaan, perniagaan dengan kerajaan dan perniagaan dengan pelanggan. Pelaksanaan e-Invois ini bukan sahaja melibatkan transaksi tempatan malah turut melibatkan transaksi perniagaan luar negara.
Manfaat e-Invois Pelaksanaan
e-Invois akan meningkatkan kecekapan dan melancarkan operasi perniagaan pembayar cukai serta meningkatkan tahap pematuhan cukai termasuklah mengurangkan proses manual dan kesilapan, memudahkan pengemukaan Borang Nyata, meningkatkan kecekapkan operasi dan mendigitalkan pelaporan percukaian dan kewangan.
Mekanisme e-Invois
Bagi memudahkan peralihan kepada e-Invois, pembayar cukai boleh memilih mekanisme yang paling sesuai untuk menghantar e-Invois kepada HASiL berdasarkan keperluan perniagaan mereka dan keadaan tertentu. Pembayar cukai boleh memilih sama ada untuk menggunakan Portal MyInvois atau API.
Portal MyInvois ialah portal yang dihoskan oleh HASiL di mana pembayar cukai boleh mengakses tanpa sebarang kos sekiranya sambungan API tidak tersedia. Manakala, API ialah satu set kod pengaturcaraan yang membolehkan penghantaran data secara langsung antara sistem pembayar cukai dan Sistem MyInvois. Mekanisme ini sesuai untuk pembayar cukai besar atau perniagaan dengan jumlah transaksi yang besar kerana ianya memerlukan pelaburan awal dalam teknologi dan pelarasan kepada sistem sedia ada.
Garis Masa Pelaksanaan e-Invois
e-Invois akan dilaksanakan secara berperingkat untuk memastikan pelaksanaan berjalan dengan lancar. Pertimbangan dan perancangan yang teliti telah dibuat dengan mengambil kira julat pendapatan atau jualan tahunan. Ini bagi memastikan pembayar cukai mempunyai tempoh masa yang mencukupi untuk menyediakan dan menyesuaikan diri dengan pelaksanaan e-Invois.
Usaha HASiL Memperkenalkan e-Invois kepada Pembayar Cukai
Dalam menyediakan maklumat komprehensif berkenaan pelaksanaan e-Invois di Malaysia, HASiL giat menjalankan jalinan kerjasama bersama dengan pengamal percukaian dan badan professional. Bukan itu sahaja, sesi libat urus bersama dengan pengamal media, pempengaruh media dan pemain industri turut diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan awal dan mendapatkan maklum balas terus berkenaan strategi-strategi pemasaran yang boleh dilaksanakan bagi membantu HASiL dalam menyebarluas kepentingan e-Invois dalam konteks urusan percukaian negara.
Tambahan pula, peranan yang dimainkan oleh kumpulan ini sangat penting dan mampu bertindak sebagai duta HASiL dalam menyampaikan maklumat percukaian kepada pembayar cukai yang berkaitan.
HASiL juga telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia sebagai tanda menjalinkan kerjasama strategik bagi pelaksanaan Inisiatif e-Invois Kebangsaan. Melalui MoU ini, MDEC dan HASiL akan bekerjasama dalam menyelaraskan pelaksanaan Inisiatif e-Invois Kebangsaan dengan model pematuhan cukai di seluruh negara serta berkongsi status pelaksanaan dan rangka kerja berkenaan perancangan, strategi dan perkembangan berhubung pelaksanaan inisiatif tersebut.
Adalah diharapkan dengan penganjuran sesi libat urus dan jalinan kerjasama berkenaan pelaksanaan e-Invois ini dapat memberi gambaran yang jelas mengenai hasrat pihak kerajaan 6 untuk menambah baik sistem percukaian negara dan mendorong kepada peningkatan tahap pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai di Malaysia.
Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.