KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Maju (SMJ) memberi penjelasan berhubung pencapaian Sabah menoktahkan miskin tegar pada 31 Julai lalu seperti diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, semalam.
Menerusi satu kenyataan, sekretariat itu menjelaskan bahawa miskin tegar yang disifarkan itu merujuk kepada ‘locked figure’ atau sasaran bilangan miskin tegar yang dikunci pada 31 Januari 2023 untuk dinoktahkan dalam Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar.
Jelasnya, jumlah yang dikunci itu ialah seramai 22,510 ketua isi rumah (KIR) seperti disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Pesta Kaamatan di Penampang pada 31 Mei lalu untuk dinoktahkan sebelum akhir Julai lalu.
Kenyataan itu menyebut, pelbagai usaha dilaksanakan Sekretariat SMJ yang diberi tanggungjawab melaksanakan intervensi bantuan untuk menyelesaikan ‘locked figure’ miskin tegar terbabit hingga berbaki 1,147 KIR pada 20 Julai lalu.
“Bagi menyelesaikan baki KIR itu, pada 23 Julai 2024, Kerajaan Negeri melalui keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah Bil 2/2024 meluluskan peruntukan sebanyak RM2.85 juta sebagai bantuan tambahan kepada 1,147 KIR terbabit.
“Kemudian, semalam, 13 Ogos 2024, Ketua Menteri mengumumkan bahawa miskin tegar dalam senarai ‘locked figure’ sebelum ini sudah dinoktahkan.
“Bagaimanapun, data dinamik dalam pangkalan data eKasih menunjukkan seramai 4,634 KIR masih berstatus miskin tegar yang sedang dipantau oleh Sekretariat SMJ.
“Angka 4,634 KIR ini adalah permohonan baharu yang berdaftar dalam sistem eKasih, tidak berdaftar dan perubahan status miskin kepada miskin tegar,” kata kenyataan itu.
Menerusi kenyataan itu, Sekretariat SMJ menyatakan bahawa bilangan KIR baharu miskin tegar itu akan ditangani di bawah fasa dua Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah.
Katanya, Kerajaan Negeri akan mengumumkan data ‘locked figure’ miskin tegar yang baharu di Sabah pada akhir tahun ini untuk dinoktahkan.
#MalaysiaMadani
#KeselematanNegaraTanggungjawabBersama
#MknSabah
#BKN2024
Sumber: Utusan Borneo Online