MELAKA: Ancaman keselamatan negara kini bersifat kompleks dan luar jangka termasuk membabitkan elemen ‘lone wolf’ atau keganasan bersendirian dilakukan individu akibat pengaruh radikalisme di media sosial.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, sehubungan itu ia menuntut tahap kesiapsiagaan ‘Keselamatan Menyeluruh’ (COMSEC) dalam usaha meningkatkan lagi keselamatan Malaysia.
Tegas beliau biarpun Malaysia tersenarai sebagai negara ke 10 terselamat oleh Indeks Keamanan Global 2024 (GPI), ancaman keselamatan wujud dari dalam dan luar serta individu tidak boleh dipandang mudah.
“Alhamdulillah, Malaysia amnya berada dalam keadaan selamat. Sebagai bukti, kita kini tersenarai sebagai negara ke-10 terselamat mengikut GPI yang dikeluarkan baru-baru ini.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh leka. Sebagai contoh, Malaysia sendiri menghadapi ancaman dalam dan luar, ancaman keganasan yang bersifat ‘lone wolf’.
“Radikalisasi melalui media sosial dan propaganda ekstremis boleh mempengaruhi individu untuk terbabit dalam aktiviti keganasan,” katanya sambil memberikan contoh insiden serangan dikaitkan ekstremis agama ke atas Balai Polis Ulu Tiram sebelum ini.
Beliau berkata demikian berucap merasmikan Majlis Penutup Latih Amal Keselamatan Menyeluruh (EX COMSEC) Peringkat Nasional Siri 2/2024 anjuran Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB), Sg Udang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.
Ahmad Zahid menjelaskan konsep COMSEC diperkenal Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 yang dilihat amat sesuai dalam menangani ancaman keselamatan negara masa kini yang bersifat kompleks dan luar jangka.
Katanya, konsep itu hendaklah digerakkan secara berterusan menerusi kerjasama pelbagai pihak merentas pelbagai sektor yang memerlukan tindakan terintegrasi dari aspek dasar, strategi, tindakan operasi dan pengurusan sumber.
“Elemen Keselamatan Menyeluruh merangkumi pelbagai dimensi, termasuk pertahanan, keselamatan dalam negeri, ketenteraman awam, keselamatan ekonomi, keselamatan politik, keselamatan masyarakat, keselamatan awam, keselamatan kesihatan awam dan keselamatan alam sekitar.
“Ia juga perlu menjadi tonggak kepada strategi keselamatan yang membolehkan tanggungjawab memelihara keselamatan negara dipikul bersama seluruh jentera kerajaan dan segenap lapisan masyarakat secara proaktif,” katanya.
“Ini termasuk memastikan pendekatan kerajaan bagi melahirkan komuniti yang bersiapsiaga, berupaya berdepan dengan krisis, membina kapasiti dan kompetensi komuniti dan memperkukuh daya tahan berhadapan cabaran seharian,” katanya.
Sebanyak 33 agensi dan 1,371 peserta terbabit dalam Latihan EX COMSEC termasuklah Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Ketua Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
SUMBER: BH