Lebih kurang 50 resort atau chalet di Negeri Sembilan dikesan beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa membabitkan kawasan berisiko seperti bukit dan lereng bukit.
Menurut Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar, kerajaan negeri sebelum ini bersetuju untuk membuat pemutihan terhadap semua resort atau chalet yang beroperasi tanpa kebenaran tersebut. Proses ini perlu dilaksanakan untuk memastikan semua tempat penginapan adalah selamat dan bebas daripada sebarang risiko yang boleh mengundang insiden tidak diingini.
Berdasarkan rekod,40 daripada jumlah tersebut adalah resort atau chalet yang terletak di kawasan Majlis Bandaraya Seremban (MBS). Sejak dua tahun lalu, MBS telah mengambil beberapa inisiatif untuk membantu dalam proses pemutihan tersebut. Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan akan mengeluarkan Notis Permintaan Mengemukakan Kebenaran Merancang (KM) kepada semua operator atau pengusaha yang telah dikenal pasti. Jika tidak mengemukakan permohonan dalam masa yang ditetapkan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh PBT. Tindakan berkenaan adalah perkara sama seperti yang pernah dilakukan keatas tapak-tapak perkhemahan di negeri ini termasuk menyita premis tersebut.
Sumber: Sinar Harian