KOTA KINABALU: Skuad Sabah FC II belum berputus-asa memburu kemenangan pertama liga Piala MFL musim ini setelah tewas semua tujuh perlawanan dan menduduki tangga tercorot liga setakat ini.
Bagi mencapai sasaran itu, pengendalinya, Alto Linus mahu kesebelasan utama pasukan tidak mengulangi kesilapan mudah yang menyebabkan gawang mereka mudah dibolosi dalam setiap perlawanan sebelum ini.
Bagi memastikan kelemahan itu tidak berulang, beliau mengambil langkah proaktif melipatgandakan rutin latihan bagi memperkuatkan lagi semangat dan kekentalan pasukan bimbingannya.
Katanya, berpandukan analisis video yang dilakukan bersama pemain dan latihan yang diterapkan sebelum ini beliau berharap skuadnya dapat menterjemahkan apa yang dipelajari itu pada pertemuan dengan Kuching City FC di Stadium Likas, malam esok.
“Dalam analisis terhadap semua perlawanan sebelum ini, apa yang dapat saya lihat, kesilapan mudah yang menyebabkan kita mudah dibolosi.
“Atas sebab itu, bagi persiapan menentang Kuching City, kita terus memperbaiki kesilapan pemain dan saya berharap semua pemain yang akan turun bermain esok, dapat cepat belajar mengadaptasi apa yang kita perbaiki.
“Kita tidak mahu lagi mengulangi kesilapan-kesilapan sebelum ini,” katanya mengulas persiapan Sabah FC II berdepan Kuching City yang dijadual bermula pada jam 7.30 malam esok.
Alto Linus melipatgandakan rutin latihan bagi memperkuatkan lagi semangat dan kekentalan pasukan bimbingannya.
Selain kesilapan mudah, Alto turut mengingatkan anak buahnya supaya memberi sepenuh tumpuan dalam permainan, termasuk aspek teknikal.
Katanya, beliau dan seluruh pasukan Sabah FC II bekerja keras sepanjang minggu sebelum perlawanan bagi memperbaiki semua kelemahan yang dapat dikenal pasti.
“Saya berharap, semua pemain akan mengadaptasikan segala yang mereka pelajari dalam kadar segera, selain cepat memperbaiki kelemahan yang dikesan,” katanya.
Selaku pengendali pasukan, Alto berkata beliau meletakkan harapan besar kepada anak buahnya untuk membawa perubahan dalam skuad berkenaan.
Selaras dengan latihan yang dijalani dan usaha dilakukan ke arah memperbaiki corak permainan, Alto optimis anak buahnya mampu beraksi dengan lebih efektif dalam perlawanan malam esok.
Jelasnya, kehadiran pemain senior yang membantu misi pasukan turut diharap mampu memperkukuhkan lagi persembahan pemain Sabah FC II kali ini.
#MalaysiaMadani
#KeselematanNegaraTanggungjawabBersama
#MknSabah
#BKN2024
Sumber: INFO X