BELI DIESEL SUBSIDI WAKTU MALAM SEBELUM JUAL BALIK DENGAN HARGA TINGGI

PENAMPANG: Beli diesel bersubsidi dari stesen minyak yang beroperasi sebelah malam lalu mengumpulkannya sebelum disyaki dijual kepada pihak yang tidak layak dengan harga yang lebih tinggi.

Itu modus operandi dua lelaki yang ditahan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu operasi Ops Tiris di Jalan Penampang, kira-kira 9.10 malam tadi.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Sabah menjalankan pemeriksaan dan seterusnya menahan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper dan lori jenama Toyota Dyna.

Katanya, hasil pemeriksaan sebuah kenderaan Isuzu Trooper mengandungi tangki tambahan jenis IBC pada bahagian belakang disyaki berisi minyak diesel anggaran 900 liter.

“Pemeriksaan lori turut ditemukan tangki jenis fiber di bahagian belakang disyaki berisi minyak diesel anggaran 600 liter. Kedua-dua kenderaan ini ditahan ketika cuba membuat pembelian minyak diesel di sebuah stesen minyak di sekitar Jalan Penampang.

“Barangan yang disita iaitu 1,500 liter minyak diesel, dua kenderaan, tangki IBC, fiber, hos getah, dan dua unit mesin pam minyak. Nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM43,855,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tangki IBC yang ditemui di kedua-dua kenderaan berkenaan.

Georgie berkata, dua lelaki warga tempatan berusia 29 dan 40 tahun iaitu pemandu kedua-dua kenderaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, berdasarkan keterangan awal, kedua-dua suspek yang ditahan gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN untuk membeli dan membawa minyak diesel yang disimpan di dalam tangki tambahan selain tangki minyak kenderaan.

“Dikenal pasti juga modus operandi bagi aktiviti ini adalah membeli minyak diesel bersubsidi dari stesen-stesen minyak yang beroperasi sebelah malam dan mengumpulkannya sebelum disyaki menjual kepada pihak yang tidak layak menggunakan minyak diesel bersubsidi dengan harga yang lebih tinggi.

“Sebagai tindakan lanjut, kes ini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel dengan tujuan untuk melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata KPDN Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri ini supaya tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

 

#MalaysiaMadani
#KeselematanNegaraTanggungjawabBersama
#MknSabah
#BKN2024

  

Sumber: INFO X

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI

 Inisiatif ini menghimpunkan tenaga Kerajaan MADANI, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan sektor swasta.  Setiap organisasi yang mengambil …
Maklumat Lanjut

BELI RUMAH MAMPU MILIK BANTU ASNAF DI BAWAH RUMAH MAWADDAH

Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) merancang pembelian rumah mampu milik untuk bantuan perumahan asnaf di bawah …
Maklumat Lanjut

POLIS BURU DUA SUSPEK GUNA WANG RM100 PALSU

Polis sedang memburu dua suspek yang disyaki menggunakan dua wang palsu RM100 untuk membeli makanan di dua premis di Pekan …
Maklumat Lanjut