KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menjanjikan ganjaran terbaik kepada atlet negeri ini jika berjaya memenangi pingat pada Sukan Malaysia Ke-21 (SUKMA XXI) Sarawak yang bermula 17 Ogos ini.
Khabar baik itu disebut Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Sabah kepada kontinjen SUKMA negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
“Ganjaran terbaik akan diberi kepada atlet yang memperolehi kejayaan pada SUKMA kali ini,” katanya dalam amanatnya kepada 713 atlet yang mewakili Sabah ke temasya sukan berkenaan.
Sementara itu, beliau menyatakan keyakinannya terhadap sasaran kontinjen Sabah untuk memenangi 40 pingat emas pada SUKMA Sarawak kali ini.
Katanya, sasaran itu tidak mustahil berdasarkan pencapaian SUKMA Ke-20 di Kuala Lumpur pada 2022 yang menyaksikan kontinjen Sabah mengutip masing-masing 30 pingat emas dan pingat perak serta 38 gangsa.
Sejajar sasaran itu, beliau berharap 713 atlet yang memperkuat kontinjen Sabah dalam edisi SUKMA kali ini dapat mempamerkan prestasi terbaik mereka.
“Pada 2022, Sabah menduduki tempat keenam daripada 15 kontinjen yang bertanding dalam sukan paling berprestij negara ini yang turut menyaksikan penyertaan kontinjen dari negara Brunei Darussalam.
“Jadi, kepada semua 713 atlet yang mewakili Sabah dalam sukan dwitahunan itu pada kali ini, berjuanglah sepenuh tenaga dengan semangat kesukanan yang tinggi untuk mengharumkan nama Sabah.
“Saya menaruh sepenuh kepercayaan dengan kemampuan atlet kita untuk membawa kejayaan yang pastinya akan menjadi penanda aras bagi semua acara sukan di negeri ini.
“Dapatkan catatan rekod terbaik supaya anda semua (atlet) boleh mewakili Malaysia ke peringkat lebih tinggi termasuk dalam kejohanan dunia atau Olimpik,” katanya.
Hajiji turut menasihati semua atlet negeri ini supaya mengekalkan tahap disiplin tinggi yang menjadi elemen penting apabila bertanding dalam mana-mana pertandingan.
Hajiji juga mahu semua pegawai pengiring sentiasa menjaga keselamatan dan kebajikan atlet sepanjang berada di Sarawak.
#MalaysiaMadani
#KeselematanNegaraTanggungjawabBersama
#MknSabah
#BKN2024
Sumber: INFO X