GEORGETOWN: Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) kini sedang dalam proses menyediakan laporan mengenai cadangan perubahan gaji minimum untuk dikemukakan kepada Kabinet, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Beliau berkata, MGPN yang terdiri daripada wakil majikan, pekerja dan pihak kerajaan sudah mengadakan pertemuan pada akhir bulan Jun lalu bagi membincangkan perkara berkenaan.
“Seperti yang anda lihat, kita sudah membincangkan mengenai mekanisme gaji berbeza yang sedang kita laksanakan kerana gaji minimum sangat penting dengan saya telah melihat data, statistik dan penyelidikan.
“Kita telah melihat kesan positif dalam 10 peringkat paling bawah sekurang-kurangnya telah mengalami pertumbuhan gaji positif sehingga 60 peratus dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu kerana dasar gaji minimum.
“Jadi ia sangat penting dan kritikal dan kerana itu kita perlu melakukannya,” katanya ketika berucap pada Persidangan Sumber Manusia Wilayah Utara 2024 di Pusat Pusat Konvensyen Setia SPICE, hari ini.
Steven berkata, pihaknya percaya kerajaan tidak boleh menaikkan gaji dengan hanya menggunakan undang-undang semata-mata.
“Anda tidak boleh memberi arahan kepada perniagaan, okay katakanlah hari ini anda naikkan (gaji) kepada angka tertentu, kemudian dua bulan kemudian atau satu tahun kemudian anda memberi arahan lagi.
“Kita tidak boleh buat begitu, (penetapan) gaji tidak berfungsi dengan cara sedemikian,” katanya.
Beliau menegaskan, Dasar Gaji Progresif (DGP) yang dilaksanakan Jun lalu secara dasarnya menyebabkan kerajaan membayar majikan supaya mereka boleh membayar gaji lebih tinggi kepada pekerja masing-masing.
Katanya, pelaksanaan DGP setakat ini telah menarik penyertaan kira-kira 430 syarikat dengan seramai 1,200 pekerja telah mendapat manfaat daripada dasar baharu itu.
Katanya, pekerja yang menyertai program itu perlu menjalani latihan kemahiran selama 21 jam membabitkan sektor pembuatan; pembinaan; perdagangan borong serta runcit; pembaikan kenderaan bermotor; maklumat serta komunikasi; aktiviti profesional; saintifik dan teknikal.
Sim berkata, langkah itu bertujuan memastikan bahawa bayaran lebih tinggi yang diterima pekerja setimpal dengan kemahiran terkini sekali gus meningkatkan produktiviti.
SUMBER: BERITA HARIAN