Pelaksanaan program rawatan dan pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) didapati berkesan dan bertepatan dengan trend penagihan semasa selain turut mendapat rujukan dari negara-negara luar.
AADK memaklumkan pihaknya menetapkan dua petunjuk prestasi utama (KPI) bagi mengukur kejayaan Pelan Strategik AADK setiap tahun dan ia berjaya dicapai.
KPI pertama adalah untuk menurunkan kadar penagih dadah tidak melebihi 400 bagi setiap 100,000 penduduk, manakala KPI kedua iaitu meningkatkan Kadar Kepulihan Klien hingga 80 peratus menjelang 2025.
Pencapaian itu jelas membuktikan AADK bukan sahaja merawat, malah berjaya memulihkan klien yang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan dalam Komuniti (RPDK) atau program Rawatan dan Pemulihan dalam Institusi (RPDI).
AADK turut mempunyai program jagaan lanjutan menerusi pelbagai kaedah termasuk melalui program hijrah yang menempatkan klien di penempatan lain (bukan tempat tinggal asal dengan persetujuan) sambil diberi pekerjaan sebagai faktor pelindung untuk kekal pulih.
Sumber: Bernama