Sistem tanpa wang tunai telah menjadi sebuah fenomena yang merevolusi cara masyarakat moden melakukan transaksi kewangan. Dalam era teknologi informasi yang terus berkembang pesat, penggunaan sistem tanpa wang tunai atau cashless telah menjadi tren utama di berbagai lapisan masyarakat. Cashless merupakan suatu kondisi dimana tidak melibatkan wang tunai secara khusus. Sistem pembayaran tanpa wang tunai merujuk kepada penggunaan alat pembayaran elektronik, seperti kad kredit, kad debit, e-dompet atau kod QR, untuk menjalankan transaksi kewangan.
Pada hari ini, kita melihat perubahan demi perubahan telah berlaku dalam sistem kewangan dunia seiring dengan kemajuan infrastruktur teknologi. Ekonomi digital dilihat semakin berkembang apabila kebanyakan pembayaran dan perkhidmatan melibatkan transaksi tanpa tunai. Apakah transaksi tanpa tunai (cashless transaction) sebenarnya?
Secara mudahnya, ia merupakan transaksi bayaran barangan dan perkhidmatan dilakukan tanpa menggunakan wang kertas dan duit syiling. Semua transaksi ini dilakukan secara atas talian.
Aliran tunai secara fizikal beransur berkurangan. Semua pembayaran dan penerimaan tunai berlaku di dunia maya. Senario ini bukan sahaja berlaku di Malaysia atau negara-negara Asia malah di seluruh dunia. Walaupun begitu, setakat ini belum ada negara yang 100% masyarakatnya hidup tanpa tunai (cashless society). Kebanyakan negara di seluruh dunia kini masing-masing sedang berusaha ke arah menjadikan negaranya tanpa tunai secara sepenuhnya.
Transformasi Malaysia ke arah Ekonomi Digital semakin diterima dan disambut baik oleh rakyat. Pada pembentangan Belanjawan 2020 yang lepas, bekas Menteri Kewangan, YB Lim Guang Eng telah mengumumkan pemberian E-Tunai Rakyat bernilai RM30 secara one-off melalui e-wallet terpilih iaitu GrabPay, Touch ‘n Go dan Boost. E-Tunai Rakyat ini boleh ditebus bermula daripada 15 Januari 2020 sehingga 14 Mac 2020 dan perlu dibelanjakan dalam tempoh 2 bulan tersebut. Kempen E-Tunai Rakyat secara besar-besaran ini telah menjadi pencetus rakyat Malaysia berlumba-lumba memuat turun aplikasi e-wallet tersebut. Inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan ini adalah sebagai rangsangan menggalakkan rakyat Malaysia ke arah masyarakat tanpa tunai. Pada hakikatnya, ini bukanlah kali pertama Kerajaan membuat inisiatif sebegini. Pada tahun 2016 telah berlaku secara besar-besaran penambahbaikan sistem kad debit baru. Manakala pada akhir tahun 2017, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan semua transaksi perbankan yang sebelum ini dikenakan caj sebanyak 50 sen untuk transaksi segera akan dimansuhkan bermula 1 Julai 2018.
Pada tahun 2017, bekas Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin juga pernah menyebut tentang Malaysia menuju masyarakat tanpa tunai menjelang tahun 2050. Ketika itu ramai yang tidak ambil serius dan anggap main-main malah menjadi bahan lawak di beberapa portal. Ini mungkin keranan pengetahuan tentang transaksi tanpa tunai masih cetek dalam kalangan pengguna. Berbeza dengan sekarang, pengguna semakin menerima perubahan ke arah ekonomi digital ini. Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan Ucapan Belanjawan 2020, jumlah urus niaga pembayaran mudah alih meningkat 20 kali ganda kepada lebih 34 juta transaksi pada tahun 2018 berbanding 2 juta transaksi pada tahun 2017.
Menurut kajian yang dibuat oleh penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkenaan Impact of Cashless Society on the Economic Growth in Malaysia telah menyatakan bahawa transaksi tanpa tunai di Malaysia telah meningkat dengan ketara pada tahun 2019 berbanding 15 tahun lalu dan faktor utama peningkatan ini adalah kesedaran dalam kalangan masyarakat dan galakan daripada Kerajaan kearah penggunaan transaksi tanpa tunai. Bukan itu sahaja, dalam kaji selidik yang telah dijalankan oleh Visa Inc. juga mendapati lebih daripada 3 juta transaksi tanpa sentuh berlaku pada setiap bulan.
Apa yang boleh kita simpulkan di sini ialah kebanyakan negara seluruh dunia bergerak ke arah menjadikan negaranya tanpa tunai. Wang tunai mungkin satu hari nanti akan terhapus dengan sendirinya mengikut peredaran zaman. Mungkin juga anak kita pada masa akan datang sudah tidak kenal lagi wang tunai. Situasi ini mungkin berlaku. Malaysia mungkin dilihat masih jauh untuk mengejar negara-negara seperti China, Sweden dan United States. Walaupun begitu, usaha-usaha ke arah itu adalah dilihat sangat positif. Bak kata pepatah tak dapat berjalan tegak, berengsot-engsot pun sampai juga. Kesedaran dalam kalangan pengguna juga telah meningkat. Walaupun ada cabaran yang perlu kita pertimbangkan, secara hakikatnya, masyarakat tanpa tunai dilihat membawa lebih banyak manfaat dan peluang berbanding sistem kewangan yang sedia ada pada hari ini.
MEDIUM
TSIS



