Pada 11 Julai dalam tahun 1926, Enakmen Tanah Terengganu, dikuatkuasakan. Enakmen tanah ini memperuntukan semua tanah-tanah negeri, menjadi hak milik Sultan dengan dipersetujui oleh Jemaah Mesyuarat Kerajaan. Enakmen ini juga membenarkan tanah-tanah ini dipecahkan mengikut peraturan-peraturan di dalam enakmen tanah yang baru serta tertakluk kepada pembayaran sewa dan cukai. Pengenalan enakmen tanah ini lahir hasil campurtangan Agen British, J.L. Humphreys dan Gabenor Negeri-negeri Selat di Singapura, Sir Arthur Young yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran negeri di era 1910an. Mereka mencari jalan bagi membolehkan Agen British dinaik taraf sebagai Penasihat di dalam pentadbiran negeri Terengganu. Suruhanjaya Penyiasat Bucknill telah dibentuk oleh Gabenor untuk memasuki pentadbiran kerajaan negeri yang pada awalnya ditolak oleh Sultan Terengganu, namun selepas rundingan diadakan dengan Gabenor, Sultan Terengganu akhirnya bersetuju menerima kedatangan Suruhanjaya ini.
Sumber: Arkib Negara Malaysia