MANILA: Kerajaan Filipina mengumumkan, pihaknya dan China berjaya mencapai perjanjian untuk menamatkan konfrontasi di Laut China Selatan.
Persetujuan itu dicapai selepas beberapa siri pertemuan antara diplomat Filipina dan China di Manila serta pertukaran nota diplomatik bagi mewujudkan aturan yang boleh diterima secara bersama tanpa mengakui tuntutan wilayah.
Jabatan Hal Ehwal Luar di Manila, berkata kedua-dua pihak mengiktiraf keperluan untuk meredakan keadaan di Laut China Selatan.
Konfrontasi ketara termasuk insiden pada 17 Jun lalu di mana tentera China merempuh dan menaiki dua bot tentera laut Filipina, menghalang pemindahan bekalan ke pos di BRP Sierra Madre.
Perjanjian terbabit berpotensi membuka jalan untuk pengaturan serupa dengan negara pesaing lain bagi mengelakkan pertembungan sementara isu wilayah masih belum diselesaikan.
Sumber: Berita Harian