MALIM GUNUNG KINABALU TAMPIL DENGAN IDENTITI BAHARU

RANAU: Malim Gunung Kinabalu menerima pakaian seragam sebagai identiti baharu dan menambah baik penampilan mereka selaku individu penting mengiringi dan menjaga keselamatan pendaki di gunung tertinggi Malaysia itu.

Pakaian berkenaan yang disumbangkan Amazing Borneo Tours disampaikan kepada malim berdaftar dengan Persatuan Malim Gunung Kinabalu pada satu majlis anjuran bersama syarikat pelancongan itu dengan Taman-Taman Sabah dan Mount Kinabalu.com, baru-baru ini.

Berucap pada majlis itu, Ketua Penolong Pengarah Taman Kinabalu, Tapak Warisan Dunia dan Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGp), Justinus Guntabid, berkata identiti baharu malim gunung itu selaras dengan pengisytiharan Gunung Kinabalu sebagai KUGGp yang menekankan kekayaan warisan semulajadi dan budaya kawasannya.

Katanya, pengiktirafan berprestij itu adalah bukti usaha gigih kakitangan Taman-Taman Sabah dalam memelihara tapak yang terkenal di seluruh dunia itu.

“Status UNESCO Global Geopark adalah satu pencapaian yang mencerminkan dedikasi bukan sahaja memperkasakan pemeliharaan dan perlindungan semula jadi Gunung Kinabalu untuk generasi akan datang tetapi juga untuk memberi peluang kepada komuniti setempat melalui pelbagai inisiatif yang terdapat dalam program KUGGp.

“Logo Kinabalu UNESCO Global Geopark pada lengan baju membolehkan malim gunung berkongsi status bertaraf global,” katanya.

Beliau berkata, pakaian seragam baharu malim gunung itu melambangkan kesatuan dan identiti profesional mereka serta memupuk rasa komuniti yang kuat dalam kalangan malim gunung.

“Pakaian seragam baharu ini bukan sahaja memberikan rasa bangga dan kekitaan tetapi juga mengukuhkan komitmen malim gunung dalam memastikan pengalaman yang selamat dan bermakna untuk semua pendaki dan pelawat.

“Untuk itu, kami sangat berterima kasih kepada Amazing Borneo Tours kerana menyumbangkan pakaian seragam ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Amazing Borneo Tours, Lesley Hiew, berkata sebagai rakan Kinabalu Geopark, tajaan Amazing Borneo Tours itu mencerminkan komitmen mendalam mereka untuk menyokong Kinabalu Geopark dan dedikasi Persatuan Malim Gunung terhadap keselamatan pendaki dan pelawat.

Katanya, penglibatan mereka juga menekankan kepentingan memelihara alam semulajadi di sekitar Kinabalu Geopark untuk kelestarian jangka masa panjang.

“Kami berasa terhormat untuk menyokong usaha KUGGp dan Persatuan Malim Gunung dalam mengekalkan keselamatan dan keindahan semulajadi destinasi ikonik ini,” katanya.

Menjelaskan idea di sebalik pakaian seragam itu, Lesley berkata rekaannya menekankan aspek keselamatan pendaki dengan memastikan malim gunung mudah dikenali dan dilihat.

“Pakaian ini direka dengan keselamatan dalam fikiran, menampilkan elemen merah untuk meningkatkan keterlihatan malim dan memudahkan pendaki untuk mengenali mereka,” katanya.

Dalam pada itu, MountKinabalu.com yang turut menjadi rakan KGGUp berdedikasi untuk memastikan maklumat yang tepat kepada orang awam dengan menyediakan pelawat maklumat yang boleh dipercayai dan mempromosikan usaha pemuliharaan yang menjadikan KUGGp sebagai destinasi terkenal di seluruh dunia.

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: INFO X

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …