Selepas beberapa kali penggunaan sewaktu melakukan aktiviti memotong ayam, daging, sayur, bawang dan buah, pastinya papan pemotong anda akan meninggalkan kesan calar di beberapa bahagian.
Dan tahukah anda bahawa jika dilihat di bawah mikroskop, terdapat jutaan bakteria yang terlekat pada papan pemotong walaupun telah dicuci sebaiknya menggunakan sabun?
Ini kerana apa-apa sahaja alat atau bahagian yang menyentuh makanan anda boleh menjadi sumber pencemaran dan penyakit bawaan makanan – dan ini termasuklah papan pemotong.
Sebagai contoh, jika anda memotong ayam mentah, dan kemudian menggunakan papan pemotong yang sama untuk menghiris bawang, anda sebenarnya berisiko mengalami pencemaran silang (cross-contamination) kerana bakteria dari ayam akan dipindahkan ke bawang.
Dan bagi vegetarian pula, buah-buahan dan sayur-sayuran juga boleh membawa patogen dan memindahkannya ke papan pemotong. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko penyakit bawaan makanan di dapur anda, kerap menukar papan pemotong anda adalah salah satu cadangan yang boleh anda praktikkan.
Bagaimana Cara Mengurangkan Risiko Penyakit Disebabkan Oleh Bakteria Di Papan Pemotong?
Secara umumnya di pasaran, anda boleh mendapatkan variasi jenis bahan dan bentuk papan pemotong bergantung kepada keperluan anda. Antaranya, jenis papan pemotong plastik, papan pemotong kayu dan banyak lagi.
Menurut pakar keselamatan makanan, di antara kedua-dua jenis papan pemotong ini, papan pemotong jenis kayu mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi dalam menyimpan bakteria sekaligus meningkatkan risiko mengalami penyakit bawaan makanan, seperti E. coli atau salmonella, jika dibandingkan dengan papan pemotong plastik.
Jadi, bagaimana anda boleh mengurangkan risiko pemindahan bakteria dari papan pemotong? Jawapannya adalah dengan menyediakan papan pemotong yang berasingan untuk barangan sedia untuk dimakan seperti roti, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Dengan melakukan cara ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu mengelakkan pencemaran silang contohnya, anda tidak menghadapi risiko memindahkan salmonella atau jenis bakteria lain daripada ayam ke sayur anda jika anda memotongnya pada permukaan yang berbeza.
**Sumber Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM