‘RAYA’ YANG ISTIMEWA

‘Bila sebut pasal raya
Semua ingat hari raya
Tapi jangan pulak kita lupa
Ada seribu satu kata
Berkait dengan raya
Selain hari raya’

Begitulah antara bait lirik lagu ‘Raya’ nyanyian penghibur Jalil Hamid. Benar bagai dikata, pelbagai perkara dinamakan dengan nama ‘raya’ termasuklah salah satu jenis nama yang dinamakan ‘bunga raya’.

Bunga raya yang nama lainnya adalah bunga sepatukembang sepatukembang uribang atau kembang warawiri, ialah spesies tumbuhan berbunga tropika genus Hibiscus dalam suku Hibisceae keluarga Malvaceae. Ia banyak ditanam sebagai tanaman hiasan di kawasan tropika dan subtropika, namun ia bertaburan asalnya di Republik Vanuatu (Republik Vanuatu adalah sebuah negara kepulauan yang terletak di selatan Lautan Pasifik).

Bunga-bunga pokok spesies ini muncul tunggal di ketiak daun dari tangkai yang pendek atau sederhana panjang pada musim panas dan musim luruh. Bentuk kuntumnya setangkup, setiap kuntum ini beranggi lima yang selalunya berwarna merah dengan garis pusat 10–20 sm, ia ada cepu debunga merah berhujung jingga. Banyak kultivar dan kacukan pokok berbunga pelbagai warna seperti merah, putih, merah jambu, jingga, kuning, kuning merah, biru dan ungu. Beberapa pokok pula berbunga ganda (atau ‘bunga susun’).

Setiap bunga raya mempunyai dua-dua bahagian jantan dan bahagian betina. Ovari dan bahagian betina lain bunga ini terletak pada struktur teras bunga: putiknya yang panjang dan bak salur. Lima titik “berbulu” pada puncak putik membentuk stigma, tempat di mana debunga dikumpul. Di tengah putiknya ada benang sari, iaitu salur di mana debunga bergerak turun ke ovari. Ovarinya terletak di dasar bunga, dan setiap bunga raya ada hanya satu ovari yang besar. Bahagian jantan bunga iaitu sulur bunga terdiri daripada filamen dan cepu bak batang. Setiap filamen berhujung dengan cepu debunga yang mengeluarkan debunga.

Pada akhir tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mengemukakan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan. Bunga-bunga berkenaan ialah bunga raya, bunga kenanga, bunga melur, bunga cempaka, bunga teratai, bunga mawar dan bunga tanjung.

Untuk memilih bunga mana yang diangkat sebagai Bunga Kebangsaan, satu kajian telah dijalankan oleh Jabatan Penerangan untuk mendapatkan reaksi orang ramai. Kajian ini dijalankan oleh unit-unit bergerak Jabatan Penerangan di seluruh bandar dan desa di Semenanjung Malaysia. Hasil kajian tersebut mendapati bahawa penduduk Pantai Timur memilih bunga mawar manakala penduduk Pantai Barat memilih bunga melur.

Walau bagaimanapun akhirnya kerajaan membuat keputusan untuk memilih bunga raya berdasarkan kriteria bunga raya yang sudah terkenal di seluruh negara, warna dan bentuk yang menarik, nama panggilan yang sama di seluruh negara, mudah didapati di seluruh negara, dan yang paling penting ia bukan menjadi Bunga Kebangsaan mana-mana negara lain di dunia ketika itu.

Berdasarkan kriteria-kriteria tersebut, pada 28 Julai 1960, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengisytiharkan bunga raya sebagai Bunga Kebangsaan. Hari ini, pemilihan bunga raya sebagai Bunga Kebangsaan kelihatan begitu tepat kerana lima kelopak yang ada padanya melambangkan lima pecahan prinsip Rukun Negara dan bunga ini juga dilambangkan sebagai bunga perpaduan.

Sumber : Wikipedia; Malaysia 2017 (Jabatan Penerangan Malaysia)

Artikel/Berita Terkini

MALAYSIA MADANI: RAKYAT DISANTUNI

 “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” bukan sekadar tema — ia lambang komitmen kerajaan dalam membina negara yang berteraskan nilai kemanusiaan, keadilan …
Maklumat Lanjut

NEGERI SEMBILAN SUDAH BERSEDIA HADAPI KEMARAU

Kerajaan Negeri Sembilan sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan cuaca panas dan kering yang dijangka melanda berterusan hingga hujung bulan depan …
Maklumat Lanjut

ISU PADI DAN BERAS NEGARA: DI MANA PENGHUJUNGNYA?

Pengenalan Padi atau nama saintifiknya oryza sativa merupakan tanaman utama dalam sektor pertanian Malaysia dan sumber asas kepada penghasilan beras, …
Maklumat Lanjut