MERBAU SI POKOK KEBANGSAAN

Sejak zaman persekolahan, ramai sekali sedia maklum akan pemilihan bunga raya sebagai bunga kebangsaan Malaysia. Namun, tahukah anda Malaysia telah mempunyai ‘pokok kebangsaan’ sendiri?

Merbau… satu nama yang biasa didengar tetapi kurang dikenali.

Pokok merbau yang didapati di Malaysia (Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak) menghasilkan kayu keras berkualiti tinggi dan terkenal dengan kekuatannya. Pokok ini tumbuh di pesisiran pantai dan hutan tanah pamah hingga ketinggian 1000 m dari paras laut.

Keunggulan dan kekuatan kayunya menyebabkan beberapa nama tempat di Malaysia dinamakan sempena pokok merbau, antaranya Kampong Merbau Patah, Terengganu; Kampong Merbau Sempak, Selangor dan Kampong Lubok Merbau, Perak.

Pada 23 Ogos 2019, pokok merbau (Intsia palembanica) telah diangkat sebagai pokok kebangsaan dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan kekayaan biodiversiti negara.

Pokok kebangsaan juga merupakan simbol kepentingan hutan kepada pembangunan industri, ekonomi serta kesejahteraan negara.

Idea pokok kebangsaan telah dicetuskan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bersama-sama dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bagi membangkitkan semangat cintakan khazanah hutan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kayu merbau merupakan kayu keras berat (heavy hardwood) yang berkualiti tinggi, tahan lama serta tahan serangan anai-anai. Ketahanan kayu pokok ini melambangkan keutuhan integriti hutan negara hasil daripada pengurusan secara lestari serta usaha pemuliharaan khazanah kepelbagaian biologi hutan Malaysia.

Ketahanannya terbukti dengan penemuan artifak-artifak purba diperbuat daripada kayu merbau di Gua Ago Batu Tulug, Kinabatangan, Sabah yang berusia hampir 900 tahun dan masih berada dalam keadaan kukuh.

Pokok merbau, daripada keluarga Fabaceae, juga dikenali sebagai malacca teakborneo teakmoluccan ironwood, ipil, kwila dan mirabow.

Spesies pokok merbau didapati secara meluas di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ia tumbuh di hutan tanah pamah terutamanya di pinggir sungai hingga ketinggian 1,000 m dari aras laut.

Ekstrak daun merbau digunakan dalam perubatan tradisional dan buah yang muda boleh dimakan setelah dipanggang dan direbus. Pokok merbau biasanya bersaiz sederhana besar hingga besar, berbatang lurus, tumbuh hingga 50 m tinggi dan berakar banir hingga 4 m tinggi.

Batang pokoknya berwarna putih keperangan. Anak daunnya tebal, berkilat serta berbentuk bujur. Bunganya berwarna putih kekuningan manakala buahnya leper, bujur panjang, licin, coklat kehitaman apabila masak dan mengandungi tiga atau lebih biji yang rata dan tebal berukuran 3-4.5 cm panjang dan 1.5-3 cm lebar.

Kayu merbau yang tahan lasak dan berharga popular digunakan sebagai bahan untuk membuat lantai, misalnya lantai kolam renang kerana ia tidak mudah rosak dan tahan kereputan. Bintik-bintik berwarna emas di sepanjang ira kayu merbau kelihatan menarik dan sesuai dijadikan pelbagai produk hiasan serta kelengkapan rumah seperti meja, kerusi dan hiasan taman.

Sumber : https://www.100jutapokok.gov.my/

 

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut