TARIF ELEKTRIK DI SABAH PERLU DIKAJI SEMULA- PETRA

KUALA LUMPUR: Tarif asas elektrik di Sabah perlu dikaji semula supaya mencerminkan kos sebenar, kata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau pada sesi soalan lisan Dewan Rakyat, semalam, PETRA berkata pendekatan itu bagi mengurangkan kebergantungan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terhadap subsidi Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya berikutan penyerahan kuasa kawal selia pembekalan elektrik kepada Kerajaan Sabah pada 3 Januari 2024, penetapan tarif elektrik kini terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Jelasnya, bidang kuasa kerajaan negeri itu termasuk segala perancangan untuk pelan pembangunan penjanaan elektrik, perolehan, pemantauan dan penyeliaan projek serta penyelesaian isu-isu dan masalah berkaitan pembekalan elektrik di Sabah.

“Berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh Energy Commission of Sabah (ECoS), beberapa projek penjanaan yang besar sedang dirancang.

“Antaranya ialah pembelian tenaga dari Sarawak menjelang 2025, pembangunan loji janakuasa baharu berkapasiti 100 MW masing-masing pada 2026 dan 2027 serta pembangunan ladang solar berskala besar berkapasiti 100 MW pada 2026.

“Kerajaan Sabah juga akan mengemas kini perancangan ini melalui Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Sabah setiap tahun melalui mesyuarat Majlis Tenaga Sabah yang dijangka akan diadakan pada suku kedua 2024,” kata jawapan itu.

Dalam soalannya, Madius meminta PETRA menyatakan usaha kementerian itu memastikan SESB tidak lagi bergantung kepada sokongan tarif subsidi Kerajaan Persekutuan dan margin simpanan mencapai lebih 30 peratus menjelang 2030.

Kementerian itu menyatakan, Kerajaan Sabah juga akan melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan potensi penjanaan elektrik melalui sumber hidro hasil kajian Pelan Pembangunan Hidro yang sedang dibangunkan pihak ECoS.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan meneroka perancangan talian penghantaran melalui sambungtara Sabah dan Kalimatan Utara, penerokaan teknologi dan sumber penjanaan baharu seperti geoterma, angin dan hidrogen.

“Perancangan-perancangan tersebut juga akan diperhalusi dan dibincangkan melalui Majlis Tenaga Sabah.

“Langkah tambahan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri melalui ECoS ialah pengenalan skim insentif Demand Side Management (DSM), dan pelancaran program SELCO-PV SABAH untuk meningkatkan penggunaan PV solar serta menggalakkan kecekapan dan konservasi tenaga.

“Kempen ini telah bermula dengan premis Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Sabah yang dimudah cara oleh pihak ECoS.

“Dengan pendekatan strategik oleh Kerajaan Sabah melalui ECoS dan SESB bagi meningkatkan kapasiti penjanaan dan mengurangkan permintaan tenaga semasa waktu puncak, Kerajaan Persekutuan percaya bahawa masalah bekalan elektrik di Sabah dapat dikurangkan dan dapat mencapai 30 peratus margin simpanan menjelang 2030,” katanya.

PETRA berkata, Kerajaan Persekutuan komited dan menyokong agenda pembangunan penjanaan elektrik di Sabah bagi memastikan rakyat menerima manfaat di samping sistem pembekalan elektrik yang lebih stabil dan terjamin.

Untuk itu, katanya jumlah siling indikatif subsidi daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi 2024 hingga 2030 adalah sebanyak RM3.54 bilion.

“Ia merangkumi subsidi bahan api, subsidi solar berskala besar, subsidi sokongan tarif dan subsidi Tenaga Boleh Baharu (FiT).

“Jumlah ini adalah berdasarkan analisis yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) sekiranya Kerajaan Sabah melaksanakan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh tersebut.

“Subsidi ini perlu dimohon oleh SESB melalui Kerajaan Negeri Sabah dan tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Kementerian Kewangan,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: INFO X

Artikel/Berita Terkini

SABAH MAHU LEBIH RAMAI PEKEBUN CEBURI TANAMAN KOKO

PENGHARGAAN: Jeffrey (tengah) menyampaikan cenderahati penghargaan kepada wakil yang terlibat menjayakan MICF 2025. Turut kelihatan, Chan (dua kanan), Matbali (tiga …
Maklumat Lanjut

ATEX 2025 ERATKAN KERJASAMA DALAM SEKTOR PELANCONGAN

TERIMA KASIH: Hajiji menyampaikan cenderahati kepada Eddy sambil disaksikan Joniston (dua kanan), Tan (dua kiri), Nigel (kiri) dan Zamani (kanan) …
Maklumat Lanjut

CUBAAN 25 PTI CEROBOH PERAIRAN NEGARA GAGAL

TANGKAP: Antara PTI yang berjaya ditahan selepas cuba menyusup masuk ke perairan negara. SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan 25 …
Maklumat Lanjut