PROMOSI KEMBALI KEBAYA SETENGAH TIANG

Keunikan Negeri Sembilan terletak pada adat perpatihnya yang diamalkan sejak dahulu lagi. Malah keunikan di negeri adat perpatih ini turut ada pada busananya yang disebut kebaya setengah tiang yang merupakan salah satu identiti negeri ini.

Bagaimanapun, selari dengan peredaran zaman, baju tersebut kini semakin dilupakan dan mungkin kebanyakan generasi muda hari ini tidak mengetahui tentangnya. Persatuan Penggiat Busana Tradisional Negeri Sembilan kini giat mempromosikannya bagi mengangkat kembali pemakaian busana berkenaan di negeri ini.

Menurut Pengerusinya, Alias Zakaria, pihaknya juga mengambil inisiatif menganjurkan bengkel jahitan khusus bagi membuat pakaian berkenaan dengan kerjasama GiatMARA dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS). Ia mendapat sambutan yang menggalakkan dan kalau boleh pihaknya menginginkan kebaya separuh tiang ini dipopularkan kembali di negeri ini dan menjadi pakaian kebiasaan. Ia ditambah pula kerajaan Negeri Sembilan telah mendaftarkannya sebagai harta intelek dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia pada November tahun lalu.

Menurutnya, adalah penting untuk mengangkat kembali busana berkenaan kerana ia adalah peninggalan sejarah dan merupakan warisan jati diri Negeri Sembilan. Jelasnya, berdasarkan kajian yang dilakukannya, pakaian tersebut telah wujud pada tahun 1930-an lagi. Ia bukan saja digayakan oleh wanita kerabat diraja, tetapi juga rakyat biasa di Negeri Sembilan dan sering digayakan dalam majlis keramaian seperti menghadiri majlis kenduri atau berendoi. Panggilan kebaya setengah tiang kerana ia dibuat atas pada lutut dan bawah dari punggung.

Bercerita lanjut berkenaan baju terbabit, pola potongan lengannya adalah kembang di hujung dan potongan bahagian bawah bajunya pula lurus manakala bahagian depan baju berlidah seperti kebaya panjang. Baju itu juga mempunyai belah potong sembilan dan kebiasaanya menggunakan kain broked, songket tenun dan kain kasa. Ia akan dipadankan dengan penggunaan kain batik sarung dan cara ikatanya adalah ikatan tindih kasih iaitu lipatan kain mengarah dari kanan ke kiri. Wanita yang menggayakan baju ini selalunya akan menggunakan kerongsang, dokoh dan rantai labuh untuk menaikkan seri pakaian tersebut. Ia juga biasanya dipakai dengan aksesori kepala yang di panggil telepok.

Golongan muda kemungkinan kurang gemar dengan fesyen kebaya berkenaan, namun dengan daya kreativiti tukang jahit, ia boleh dimodenkan namun jangan sampai menghilangkan identiti pakaian itu dan baginya kebaya setengah tiang ini juga mencerminkan wanita Islam kerana ia sopan dan longgar. Persatuan ini juga sedang giat mempromosikan kembali kebaya setengah tiang ini dan turut mengambil tempahan.

Sumber:Β Sinar Harian

 

Artikel/Berita Terkini

20 INISIATIF BANTUAN RAKYAT DAN KOS SARA HIDUP

#Belanjawan2025 Selaras dengan tema β€˜Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat,’ Belanjawan ini memberi fokus kepada usaha meringankan kos sara hidup …
Maklumat Lanjut

LATIH AMAL FIELD TRAINING EXERCISE ARAHAN MKN NO.21 EX-MINANG 2024

SEREMBAN, 20 OKTOBER 2024 –       Majlis Keselamatan Negara, Negeri Sembilan dengan kerjasama Hospital KPJ Seremban Specialist Hospital telah melaksanakan Latih …
Maklumat Lanjut