PERSIDANGAN DUN : BELANJAWAN TAMBAHAN RM1.004 BILION DILULUSKAN

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2024 yang dibentangkan Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun pada Persidangan DUN, petang ini.

RUU Perbekalan Tambahan atau Belanjawan Tambahan Negeri itu membabitkan perbelanjaan lebih RM1.004 bilion bagi menampung keperluan kewangan negeri sehingga akhir tahun ini.

Ia diluluskan sebulat suara oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas dibahas wakil kerajaan dan pembangkang bermula tengah hari tadi hingga petang ini.

Ketika membentangkan RUU berkenaan, Masidi berkata perbelanjaan tambahan sebanyak RM1,004,195,850 itu mustahak bagi melancarkan operasi pentadbiran Kerajaan Negeri sehingga akhir tahun 2024.

Beliau berkata, jumlah peruntukan tambahan itu terbahagi kepada enam kategori perbelanjaan.

“Kategori perbelanjaan pertama ialah Caruman Kumpulan Wang Pembangunan dan Amanah sebanyak RM295 juta atau 30 peratus, iaitu yang tertinggi.

“Ia diikuti Perbelanjaan Operasi sebanyak RM288 juta atau 29 peratus yang meliputi perbelanjaan penyelenggaraan infrastruktur, perbelanjaan operasi, penyelenggaraan dan pembaikan bangunan kerajaan.

“Selain itu, ia turut meliputi perkhidmatan dan pengangkutan logistik, tajaan biasiswa serta bantuan khas one-off tiket penerbangan bagi pelajar di Pusat Pengajian Tinggi di Semenanjung, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Masidi berkata, kategori perbelanjaan yang ketiga ialah Perbelanjaan Pentadbiran sebanyak RM173 juta atau 17 peratus yang melibatkan perbelanjaan bayaran Bantuan Khas Kewangan (Bonus) dan Gantian Cuti Rehat (GCR).

Katanya, ia juga termasuk bayaran Emolumen, perbelanjaan utiliti dan sewaan serta elaun perbelanjaan sara hidup bagi melicinkan operasi pentadbiran di kementerian dan jabatan negeri yang terlibat.

“Kategori perbelanjaan yang seterusnya adalah di bawah Peruntukan Khas yang melibatkan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kemudahan infrastruktur asas dan kemudahan awam.

“Antaranya seperti jalan raya, jeti, loji rawatan air (LRA), pertahanan tebing sungai, dewan serbaguna, stadium sukan, masjid dan pasar awam iaitu sebanyak RM101 juta atau 10 peratus.

“Bagi kategori yang ke lima, iaitu Perbelanjaan Pelaburan sebanyak RM80 juta atau lapan peratus adalah bagi pembelian saham untuk menjana hasil tambahan kepada Kerajaan Negeri dalam bentuk dividen.

“Kategori perbelanjaan terakhir iaitu sebanyak RM64 juta atau enam peratus disyorkan bagi pemberian geran antaranya kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan serta Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA),” katanya.

Perbelanjaan itu katanya untuk melancarkan pelaksanaan program yang boleh mendukung hasrat dan usaha kerajaan dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan sosial serta kesejahteraan rakyat.

Bagi perbelanjaan tambahan mengikut kementerian, Masidi berkata jumlah tertinggi iaitu sebanyak RM529 juta diperuntukkan kepada Kementerian Kewangan, disusuli Kementerian Kerja Raya (RM204.9 juta), Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (RM55.9 juta) dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (RM32.1 juta).

Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan diperuntukkan sebanyak RM31.9 juta, manakala baki RM39.9 juta lagi diperuntukkan kepada kementerian dan jabatan negeri yang lain.

 

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: INFO X

Artikel/Berita Terkini

PEMBAYARAN SUMBANGAN TUNAI RAHMAH (STR) FASA 1 2025 MENGIKUT KATEGORI

Kerajaan MADANI akan menyalurkan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 2025 bermula 22 Januari 2025 kepada 8.3 juta penerima …
Maklumat Lanjut

PERKASA TUISYEN RAKYAT UNTUK PELAJAR DUN REMBIA

Rembia – Pelaksanaan Tuisyen Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia diteruskan bagi membantu kecemerlangan pelajar yang bakal menduduki …
Maklumat Lanjut

KUNJUNG HORMAT MAJLIS KESELAMATAN NEGARA NEGERI MELAKA KEPADA YB SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI MELAKA

Seri Negeri – Kunjungan hormat Encik Norazle bin Sulaiman, Pengarah Keselamatan Negeri serta pegawai-pegawai dari Majlis Keselamatan Negara Negeri Melaka …
Maklumat Lanjut