NADMA LULUS PERUNTUKAN RM14 JUTA UNTUK BANTUAN DAN PENGURUSAN OPERASI BANJIR DI SABAH

PUTRAJAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) meluluskan peruntukan RM14 juta untuk pemberian bantuan dan pengurusan operasi bencana di luar musim Monsun Timur Laut (MTL) di negeri ini.

Peruntukan itu diluluskan NADMA berdasarkan permohonan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat NADMA hari ini, permohonan Pejabat SKN itu adalah untuk menggunakan baki peruntukan MTL 2023/2024 bagi negeri Sabah berjumlah RM14 juta.

“Jumlah ini termasuklah pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan akibat banjir serta sumbangan Bantuan Wang Ihsan Kematian (BWI Kematian) sebanyak RM10,000 diberikan kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat bencana banjir,” katanya.

Sementara itu, NADMA dalam kenyataan itu berkata, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) NADMA yang beroperasi 24 jam setiap hari dibuka di negeri ini susulan kejadian banjir di beberapa daerah, bagi memantau dan menyediakan laporan terkini situasi bencana di Sabah.

Katanya, amaran bencana seperti hujan berterusan dan banjir akan disampaikan kepada semua agensi tindak balas berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Ini termasuklah kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertindak sebagai sekretariat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan JPBN,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh NDCC pada jam 6 pagi tadi, jumlah mangsa yang dipindahkan akibat banjir di negeri ini ialah seramai 464 orang, meningkat berbanding 437 mangsa pada jam 12 tengah malam tadi.

“Tiga daerah yang terkesan ialah Penampang, Putatan dan Tuaran manakala satu kematian direkodkan di daerah Penampang.

“Kesiapsiagaan menghadapi bencana seperti banjir di daerah tersebut dikoordinasi oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah seperti pengaktifan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), penyediaan dan keperluan bilik gerakan dan stor simpanan.

“JPBD juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memastikan keperluan mangsa di pusat penempatan diperolehi sewajarnya.

“Buat masa ini keadaan di Sabah adalah terkawal dan koordinasi di antara agensi yang diselaraskan oleh Pegawai Daerah dan Setiausaha Kerajaan Negeri berjalan dengan amat baik,” katanya.

NADMA turut menasihati orang ramai agar berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, peka dengan pengumuman melalui media massa dan menunggu arahan sekiranya diarahkan berpindah ke PPS.

Katanya, maklumat dan amaran cuaca terkini boleh diperolehi melalui pelbagai medium sama ada media elektronik, media sosial, laman web rasmi, aplikasi myCuaca, serta MET Malaysia Hotline di talian 1-300-22-1638.

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: INFO X

Artikel/Berita Terkini

‘SAYA CINA TAPI NAMA MELAYU NUR FARHANA, NAMA INDIA PULA TAMANA’

Walaupun dilahirkan sebagai seorang berbangsa Cina, namun Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon, mempunyai nama …
Maklumat Lanjut

INISIATIF 1 RUMAH 1 JALUR GEMILANG

 Ayuh kibarkan Jalur Gemilang di rumah anda! Satu bendera, sejuta makna — simbol cinta & bangga pada tanah air tercinta  …
Maklumat Lanjut

KERAJAAN UTAMA KEPENTINGAN PERLUAS CAPAIAN DIGITAL

CENDERAMATA: Hajiji menerima cenderamata daripada Gobind semasa kunjungan hormat di pejabatnya di Menara Kinabalu hari ini. KOTA KINABALU: Kerajaan negeri …
Maklumat Lanjut