KOTA KINABALU: Tidak hanya merampas dadah jenis syabu bernilai RM24,500 malah pasukan khas Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) turut merampas tiga laras senapang angin buatan sendiri.
Rampas itu dijalankan dalam serbuan di kawasan penagihan dan pengedaran dadah di sebuah ladang di Jalan Jeroco, Lahad Datu, tengah hari, semalam.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, turut dirampas dalam operasi itu 50 butir peluru guli, 10 bilah pisau taji ayam sabung, empat bilah parang dan tiga bilah kapak.
Katanya, dua lelaki warga Indonesia juga berjaya ditahan dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan untuk disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
10 bilah pisau taji ayam sabung yang dirampas dalam serbuan di sebuah ladang di Jalan Jeroco, Lahad Datu. – Foto/ESSCOM
“Tindakan pantas pasukan khas ESSCOM melalui kerjasama dan dibantu Polis Bantuan di ladang itu menyerbu kawasan penagihan dan pengedaran dadah mencerminkan komitmen dan jaminan ESSCOM dalam mengurangkan Jenayah Rentas Sempadan (JRS),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau juga mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk melaporkan sebarang maklumat mencurigakan ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072 agar kesejahteraan di ESS Zone dapat terus diperkasa.
Empat bilah parang dan tiga bilah kapak turut dirampas. – Foto/ESSCOM
“ESSCOM juga akan terus memperhebat koordinasi operasi bersama pasukan keselamatan yang lain bagi mengekang dan menangkap individu yang berniat jahat untuk mengganggu serta menggugat keamanan dan keselamatan negara.
“Kita juga turut komited membantu pelbagai Agensi Penguatkuasaan Persekutuan dan Negeri dalam membanteras elemen jenayah rentas sempadan (JRS) seperti aktiviti samun laut dan penyeludupan kontraban dengan mempergiat operasi secara bersepadu di kawasan daratan serta perairan ESSZONE,” katanya.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah
Sumber: INFO X