PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan segera RM20,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) berikutan banjir yang melanda daerah ini.
Menerusi satu kenyataan malam ini, beliau berkata sumbangan itu bagi membiayai operasi menyelamat mangsa banjir dan keperluan lain di pusat pemindahan bencana.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, beliau juga memaklumkan situasi banjir yang berlaku di daerah ini sejak petang tadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya juga memaklumkan kepada Yang Perdana Menteri mengenai situasi banjir di Penampang ketika ini dan ketidakhadiran saya ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pagi besok akibat bencana ini.
“Sepatutnya saya mengambil penerbangan jam 5.20 pagi besok ke Kuala Lumpur. Saya juga memaklumkan penangguhan taklimat agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan penggantian saya untuk temubual dengan BERNAMA malam besok.
“Mari doakan operasi menyelamat dan memindah mangsa bencana ini dipermudahkan, juga untuk semua mengambil langkah berhati-hati,” katanya.
Banjir melanda sebahagian besar kampung di kawasan rendah di daerah ini akibat hujan lebat sejak tengah hari tadi yang menyebabkan air Sungai Moyog, di sini melimpahi tebing.
Ewon turut meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang yang dibuka sejak jam 5.25 petang tadi dan setakat ini menempatkan tiga mangsa daripada sebuah keluarga.
“Pegawai Daerah Penampang telah mengisytiharkan pembukaan pusat bencana ini jam 5.25 petang tadi susulan hujan lebat di Penampang sejak jam 1.30 tengahari tadi yang menyebabkan banjir besar di Penampang.
“Pasukan keselamatan yang terdiri daripada polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta dibantu Kelab Pacuan Empat Roda sedang menjalankan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.
“Bagaimanapun, operasi ini juga terkesan akibat arus yang kuat. Pada ketika ini, beberapa jalan utama Penampang tidak dapat dilalui dan bekalan elektrik juga terputus di beberapa kampung dan kawasan perumahan.
“Tanah runtuh di tiga kawasan juga menyebabkan laluan utama tidak dapat dilalui ketika ini termasuk Jalan Penampang – Tambunan,” katanya yang turut meninjau beberapa kawasan terjejas banjir malam ini.
Katanya, pertembungan air laut pasang dengan air sungai juga antara punca yang menyebabkan limpahan besar banjir di daerah ini.
Berdasarkan maklumat JBPM Sabah, setakat ini sebanyak 23 kampung dilanda banjir di daerah ini setakat jam 9 malam tadi.
Selain itu, laporan banjir turut diterima di beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah
Sumber: INFO X