PAHANG TUAN RUMAH PROGRAM MADANI RAKYAT ZON TIMUR

KUANTAN, 24 JUN 2024 : Pahang akan menjadi tuan rumah bagi Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur bermula 5 Julai sehingga 7 Julai depan di Dataran Sayangi Kuantan.

Program yang merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan ini bermula 9 pagi hingga 10 malam merupakan platform untuk masyarakat mendapatkan perkhidmatan secara langsung daripada kementerian dan agensi serta mengemukakan pandangan dan cadangan penambahbaikan mutu perkhidmatan
Kerajaan.

Program ini akan memberi tumpuan kepada aktiviti berkaitan kesejahteraan rakyat, agenda perpaduan, TVET dan karnival kerjaya, pelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan, kesejahteraan luar bandar serta pameran dan perkhidmatan berhubung pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Kecerdasan Buatan (AI), selain pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Penganjuran siri ketiga Program MADANI Rakyat Zon Timur anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kerajaan Negeri Pahang ini dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Antara yang menjadi tarikan pada program ini juga adalah tawaran potongan harga dan tawaran istimewa serta pameran aset-aset Kerajaan turut disediakan untuk pengunjung selain turut melibatkan kolaborasi strategik syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan pihak swasta.

Lebih menarik, YAB. Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bakal menyempurnakan Majlis perasmian Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur pada 6 Julai 2024 yang akan turut dihadiri oleh kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Program MADANI Rakyat merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember tahun lalu dan diteruskan ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu Kerajaan MADANI.

 

SUMBER: PAHANGMEDIA

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut