ECOS, SESB SERBU PREMIS CURI ‘KARAN’

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyerbu 15 premis komersial di empat daerah selepas disyaki memanipulasi meter dan melakukan penyambungan haram bagi mencuri elektrik, baru-baru ini.

Operasi itu yang dilakukan di Kota Kinabalu, Kota Belud, Tuaran dan Sandakan mengenal pasti kerugian lebih RM3 juta dialami SESB berikutan perbuatan mencuri elektrik yang dilakukan pemilik premis terbabit.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata premis terbabit terdiri daripada pusat ternakan udang, pusat pelancongan, kedai perabot, restoran, kilang ais, kilang memproses makanan laut dan pusat hiburan.

Katanya, ECoS merampas bukti seperti kabel sambungan haram, meter elektrik yang diubah suai dan peralatan elektronik yang digunakan untuk mengganggu meter SESB.

“ECoS akan mengambil tindakan pendakwaan di mahkamah mengikut Seksyen 61(1) dan Seksyen 61(3) Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

“Bagi Seksyen 61(1), sekiranya didapati bersalah, pemilik premis boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi Seksyen 61(3) pula, pemilik permis boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua dan yang berikutnya, pemilik permis boleh didenda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang didapati bersubahat melakukan pengusikan meter atau membuat pendawaian elektrik secara haram juga boleh didakwa di bawah Seksyen 62 Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

Pada masa yang sama, katanya SESB juga boleh menuntut semula kerugian daripada pelaku berdasarkan Seksyen 63 (6) Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

“Aktiviti serbuan penguatkuasaan yang dilaksanakan turut melibatkan pemeriksaan ke atas pepasangan elektrik, di mana kita mengesan sebanyak 20 unit genset yang tidak berdaftar dan tidak dilesenkan.

“Kesalahan ini boleh didenda sehingga
RM500,000 atau dipenjara sehingga tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali berdasarkan Seksyen 8, Enakmen Bekalan Elektrik 2024,” katanya.

Sementara itu, katanya ECoS membuka pejabatnya bagi cawangan Wilayah Pantai Timur di Wisma Saban, Sandakan untuk membantu memudahkan urusan dan memberikan akses yang lebih mudah kepada pihak pemegang taruh mendapatkan maklumat dan perkhidmatan berkaitan pendaftaran lesen, aduan, kekompetenan, keselamatan dan kecekapan tenaga.

“ECoS akan terus melaksanakan serbuan dan aktiviti penguatkuasaan bagi membanteras kecurian elektrik dan memastikan semua pepasangan elektrik didaftar dan dilesenkan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024 supaya segala aktiviti pepasangan beroperasi dalam keadaan yang selamat.

“ECoS juga memberikan peringatan dan amaran kepada pengguna elektrik supaya tidak membuat sebarang aktiviti pengusikan meter atau penyambungan haram untuk mengelakkan tindakan undang-undang,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah

 

Sumber: Info X

 

Artikel/Berita Terkini

80 RUMAH DI DUA KAMPUNG TERJEJAS RIBUT

Dianggarkan sebanyak 80 rumah di Kampung Baru Ayer Hitam dan Felda Lui Barat mengalami kerosakan akibat dilanda ribut sekitar jam …
Maklumat Lanjut

SUSPEK MILIKI 23 REKOD JENAYAH CUBA LARI DARI POLIS, REMPUH DUA KENDERAAN

Tindakan mencurigakan sebuah kenderaan di Jalan Tampin-Seremban awal Ahad membawa kepada penahanan tiga individu termasuk seorang daripadanya mempunyai 23 rekod …
Maklumat Lanjut

ROKOK SELUDUP BERNILAI RM168,060 DIRAMPAS DI BELURAN

RAMPAS: Semua rokok yang disyaki di seludup masuk dari negara jiran itu dirampas. KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya …
Maklumat Lanjut