Kemeriahan sambutan Aidiladha di daerah ini pastinya meninggalkan kenangan manis buat 50 rakyat Singapura yang terlibat dalam program korban di Kampung Sungai Beringin, Pedas, Rembau pada Rabu. Pada program berkenaan, kumpulan pelancong terbabit telah menyumbang dua ekor lembu. Mereka turut bersama-sama bergotong-royong menjayakan program berkenaan yang julung kali diadakan.
Menurut Pelancong, Kamariah Hamdan, program berkenaan meninggalkan kenangan manis kepada ahli rombongan yang rata-rata pertama kali menyertainya. Menurutnya, dia turut berpeluang membantu memotong daging dan mengagihkan daging korban kepada penduduk dan fakir miskin. Ini merupakan pengalaman pertamanya menyaksikan sendiri proses penyembelihan, melapah dan mengagihkan daging korban. Seorang lagi pelancong, Airis Elmaia, 9, menyifatkan peluang turut serta dalam program itu sebagai satu pengalaman yang sangat bermakna. Ini kerana, dia dapat belajar erti pengorbanan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang telah di belajar di sekolah.
Menurut Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Warisan Negeri Sembilan, Khairulanuar Kamaruzaman, penganjuran program itu dapat menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini sekali gus sebagai persiapan program Tahun Melawat Malaysia 2026. Kehadiran pelancong berkenaan sememangnya untuk menyertai ibadah korban, namun pada masa sama mereka juga mengambil kesempatan melawat lokasi-lokasi menarik di Negeri Sembilan.
Sumber: Sinar Harian



