Tinjauan hasil kaji selidik Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) untuk Eksekutif 2023 membabitkan 262 syarikat swasta mendapati hanya 39.6 peratus mengambil lulusan TVET, sekali gus membuka peluang luas kepada graduan bidang kemahiran mendapatkan pekerjaan sejurus tamat latihan dengan kadar gaji setimpal dan berpadanan kemahiran dimiliki. Maka, apa yang diharapkan adalah ibu bapa dan belia perlu mengubah persepsi dan tidak lagi menganggap TVET sebagai pilihan pengajian atau kerjaya kelas kedua.
TVET perlu dilihat sebagai kerjaya masa hadapan yang boleh meningkatkan pendapatan dan menyumbang kepada proses pembangunan serta kemajuan negara hasil kerja anak watan sendiri. Justeru buang jauh-jauh budaya hanya mahu kerja kolar putih dan usah memandang sebelah mata bidang TVET yang dilabel kerja kolar biru, sebaliknya belia perlu tingkatkan semangat jati diri dan daya saing untuk berani meneroka peluang disediakan dalam bidang kemahiran.
Dalam hal ini peranan ibu bapa dilihat sangat penting untuk memperbetulkan persepsi anak yang mungkin dilihat ‘tidak ada masa depan’ jika memasuki bidang kemahiran, selain wajar memujuk dan menerangkan kepada anak-anak kelebihan TVET untuk kerjaya masa depan mereka. TVET sepatutnya menjadi pilihan utama termasuk pelajar cemerlang kerana membuka laluan lebih mudah melanjutkan pelajaran ke universiti berbekalkan kelulusan kemahiran diperoleh daripada institusi TVET.
Generasi hari ini perlu membuang jauh pemikiran ‘TVET bidang kelas kedua’ atau termasuk dalam kategori sektor pekerjaan 3D iaitu ‘dirty’ (kotor), ‘difficult’ (sukar) dan ‘dangerous’ (bahaya). Dalam konteks ini, institut pengajian tinggi (IPT) juga boleh menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi TVET supaya memudahkan laluan masuk graduan kemahiran ini ke universiti.
Peluang seperti ini membuka mata ibu bapa dan belia sekali gus menjadi daya penarik untuk memasuki TVET kerana sedar ada peluang lebih baik selepas tamat latihan kemahiran terbabit.Semoga dengan ada pelbagai inisiatif dan strategi berterusan daripada kerajaan serta sokongan padu pihak industri, TVET akan menjadi bidang pilihan utama belia, sekali gus dapat memperkukuh modal insan negara.
Tuntasnya, belia perlu sedar pasaran kerjaya masa hadapan akan berpaksikan tahap dan bentuk kemahiran tinggi dimiliki, di samping penguasaan baik kemahiran digital.
Sumber: Berita Harian