Malaysia terkenal sebagai salah satu negara paling selamat dan aman di dunia. Keamanan negara ini dicapai melalui beberapa faktor utama yang berfungsi dalam keharmonian. Antaranya ialah kestabilan politik yang berterusan sejak kemerdekaan pada tahun 1957 memainkan peranan penting. Sistem demokrasi parlimen dan raja berperlembagaan memastikan peralihan kuasa yang aman dan konsisten.
Selain itu, Malaysia terkenal dengan kepelbagaian etnik dan budaya membuktikan bahawa rakyat Malaysia berjaya mempromosikan keharmonian sejak sekian lama. Masyarakat yang terdiri daripada Melayu, Cina, India, dan etnik lain hidup bersama dengan toleransi dan saling menghormati. Sambutan perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, dan Deepavali oleh semua kaum mencerminkan perpaduan ini.
Ini ditambah pula dengan prestasi pihak berkuasa seperti polis dan tentera berfungsi dengan efektif dalam mengekalkan ketertiban awam. Sistem undang-undang yang berkesan serta program pencegahan jenayah membantu mengurangkan kadar jenayah.Ini terbukti apabila pada tahun 2023, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengekalkan situasi keselamatan negara pada tahap yang amat baik dan terkawal sepanjang tahun 2023. Sebanyak 52,444 kes direkodkan oleh statistik Jenayah Indeks Negara melalui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang mencatatkan 94.74 peratus tangkapan, 80.29 peratus penyelesaian kertas siasatan dan 58.71 peratus kadar pertuduhan.
Akhir sekali, pembangunan ekonomi yang stabil meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengurangkan kemiskinan, yang seterusnya mengurangkan konflik sosial. Dasar luar negara yang neutral dan berpegang kepada prinsip diplomasi memastikan hubungan baik dengan negara jiran dan menyumbang kepada keamanan serantau.
Malaysia sering berada dalam kedudukan baik dalam Indeks Keamanan Global, mencerminkan tahap keselamatan yang tinggi. Menerusi data yang dikeluarkan oleh Indeks Keamanan Global pada tahun 2023, Malaysia antara 20 negara paling aman di dunia dan meraih kedudukan ketiga dalam senarai negara Asia apabila berada di belakang Singapura dan Jepun.
Sumber: Kosmo