Hajiji menerima Anugerah Felo Kehormat IEM daripada Timbalan President IEM, Ir Yau Chau Fong pada Majlis Makan Malam ke-46 IEM Cawangan Sabah.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyatakan komitmennya untuk terus memberi tumpuan terhadap pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, terutama keperluan asas yang kritikal iaitu bekalan air dan elektrik.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata usaha itu bukan saja sebagai pemangkin untuk memperkukuhkan ekonomi negeri, malah memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat pada tahap yang lebih selesa.
Beliau berkata, kesungguhan dan komitmen kerajaan negeri dibuktikan melalui penyediaan peruntukan terbesar dalam Belanjawan Negeri 2024 iaitu sebanyak RM2.63 bilion, dengan RM1.72 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya Sabah dan jabatan di bawahnya.
Jelasnya, kerajaan prihatin keresahan rakyat Sabah terhadap masalah kemudahan infrastruktur dan kemudahan asas seperti jalan raya, jambatan, cerun, perparitan, perkhidmatan pembetungan, kereta api, pelabuhan dan dermaga, pengurusan trafik, bangunan kerajaan dan lain-lain lagi infrastuktur.
“Justeru, kerjasama antara kerajaan negeri dan jurutera amat penting dalam memastikan setiap pembangunan yang dirancang di negeri ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, memenuhi piawaian yang diperlukan sekali gus dapat memacu pertumbuhan ekonomi di Sabah.
“Ini juga seiring dengan komitmen Kerajaan Negeri yang berusaha memperkasa rangkaian jalan raya dan komited untuk menyempurnakan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di negeri ini,” katanya pada Majlis Makan Malam Tahunan kali ke-46 Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sabah di Magellan Sutera, Sutera Harbour Resort pada Sabtu.
Hajiji berkata, profesion jurutera memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan negara termasuk di Sabah kerana peranan yang dimainkan mereka bukan hanya membantu memacu ekonomi, malah meningkatkan kualiti hidup rakyat negeri ini.
Menurutnya, usaha kerajaan negeri dalam memastikan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat direalisasikan dan dinikmati oleh semua rakyat Sabah amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk jurutera.
Hajiji berkata, pembangunan profesional berterusan penting untuk membangunkan pemimpin kejuruteraan di barisan hadapan dalam memacu pembinaan negara dan aset penting ke arah mengembangkan kepakaran teknikal untuk kekal relevan terutama dalam menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi.
Beliau berharap jurutera dan pemain industri di negara ini merebut peluang terutama M dalam perkembangan teknologi semasa bagi memastikan negeri ini dapat dibangunkan dengan lebih baik berdasarkan amalan kejuruteraan yang betul serta menggunakan teknologi yang terkini.
“Sekiranya ini menjadi kenyataan, maka kita mampu untuk menarik lebih ramai pelabur, sekali gus membuka peluang-peluang pekerjaan dan perkongsian pengetahuan serta pengalaman dari negara luar ke negeri ini,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri melihat kepada organisasi seperti IEM untuk membantu di mana-mana yang berkaitan dan relevan, memandangkan jurutera di setiap peringkat boleh menggunakan pengetahuan profesional mereka untuk menyumbang kepada peningkatan profesion dan produktiviti yang lebih tinggi untuk pembangunan negara.
Hajiji juga mahu IEM dan semua pihak terus mempromosikan amalan-amalan kejuruteraan untuk menarik minat lebih ramai golongan muda menceburi bidang kejuruteraan bagi melahirkan anak jati Sabah yang mampu bersaing di persada dunia.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah
Sumber: Info X