SHAH ALAM, 6 JUN 2024 : Kementerian Kewangan (MOF) telah meluluskan lebih 30,000 pemohon individu, petani dan pekebun kecil komoditi untuk menerima bantuan subsidi tunai di bawah inisiatif BUDI MADANI.
MOF dalam kenyataan memaklumkan, penerima akan disalurkan bantuan tunai pertama berjumlah RM200 pada 10 Jun 2024 melalui akaun bank masing-masing.
Bagi penerima tanpa akaun bank pula boleh menuntut BUDI MADANI secara tunai dengan membawa MyKad di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.
Pemohon yang berkelayakan masih boleh mendaftar untuk menerima BUDI MADANI. Permohonan yang dibuat dalam bulan Jun 2024 layak menerima bayaran untuk bulan tersebut dan bulan seterusnya. Permohonan yang dibuat selepas bulan Jun 2024 hanya layak menerima bayaran yang bermula pada bulan Julai 2024 dan tidak akan mendapat bayaran untuk bulan Jun 2024.
BUDI MADANI ialah usaha kerajaan memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak, terbahagi kepada bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi) dan syarikat serta kenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).
Di bawah Belanjawan 2024, kerajaan komited untuk menyasar semula subsidi bahan api bagi mengekang aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan ketirisan subsidi rakyat.
Dianggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima BUDI Individu. Manakala seramai 68,000 petani, 8,000 penternak dan 34,000 pengusaha akuakultur dengan skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada BUDI Agri-Komoditi.
Berdasarkan data permohonan setakat ini, majoriti pemohon yang tidak diluluskan adalah atas sebab tidak memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan. Sebagai contoh, terdapat pemohon petani dan pekebun kecil yang tidak berdaftar di kementerian yang berkaitan.
Menurut Kementerian Kewangan, bagi pemohon individu yang tidak diluluskan, mereka boleh membuat semakan permohonan serta mengemukakan rayuan di laman sesawang BUDI MADANI iaitu https://budimadani.gov.my
Bagi pemohon petani dan pekebun kecil yang masih belum berdaftar di agensi di bawah kementerian yang berkenaan, mereka dinasihatkan untuk berbuat demikian terlebih dahulu, sebelum mengemukakan permohonan BUDI MADANI.
Untuk mengetahui lebih lanjut berhubung syarat kelayakan BUDI MADANI, sila layari https://budimadani.gov.my atau menghubungi talian bantuan BUDI MADANI di nombor 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau secara e-mel di budimadani@treasury.gov.my
Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperolehi di semua pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di seluruh Semenanjung Malaysia.