Seringkali kita mendengar berkenaan ajaran yang meragukan sehingga ada antaranya difatwakan sesat oleh pihak berkuasa agama. Isu ajaran sesat dan meragukan tidak wajar dipandang enteng oleh mana-mana pihak memandangkan ia bukan sahaja mampu memesongkan akidah individu tetapi juga merosakkan ketamadunan sesebuah bangsa melalui agama.
Tahukah anda di Vietnam dan Kemboja wujud satu kelompok bangsa cham iaitu suku melayu yang mengamalkan ajaran islam bani yang mana mereka menggabungkan ajaran islam dan ajaran hindu. Ironinya, Kerajaan negara mereka mengganggap mereka adalah penduduk islam walau dalam kalangan orang islam sendiri secara terang-terangan boleh mengenal pasti betapa terpesongnya ajaran islam bani.
Antaranya :
- Mereka mempunyai seorang Imam Besar yang dipilih oleh 19 imam yang lain. Imam dikenali sebagai Halau Tamuway Awar.
- Hanya imam sahaja yang menunaikan solat dan mereka berhak memilih waktu untuk solat tersebut.
- Sembahyang 5 waktu hanya dilakukan pada bulan puasa sahaja. Manakala solat jumaat akan dilakukan sebulan sekali samada di awal atau akhir bulan.
- Mereka juga mempunyai al-Quran namun hanya beberapa surah yang terpilih sahaja bukannya Al Quran lengka sebagaimana yang kita ada pada hari ini. Mereka akan membaca yasin ketika ada kematian dan membaca al Fatihah dalam upacara tertentu sahaja. Namun malangnya surah tersebut dibaca dalam bahasa campuran Arab-Cham. Al Quran mereka ditulis dengan menggunakan huruf akhar thrah iaitu huruf sanskrit purba.
- Hanya imam sahaja yang berpuasa untuk komuniti mereka dan puasa itu hanya beberapa hari sahaja. Semasa berpuasa, imam dilarang membunuh binatang. Tugas imam mereka ini hanyalah melakukan amalan agama sahaja. Mereka tidak bekerja kerana orang kampung yang akan menjamunya. Tiga hari sebelum Ramadhan yang mereka sebut sebagai Ramuwan, mereka akan ke kubur nenek moyang mereka untuk menyembah hyang ( roh nenek moyang ).
- Jika mereka menyebut “pergi Mekah” , itu bermaksud “ meninggal dunia”. Mereka tidak menunaikan haji bahkan mereka tidak mengenali Nabi Muhammad pun. Walaupun begitu, mereka percaya kepada Malaikat yang mencatit amalan baik dan buruk.
- Sebagaimana umat Islam biasa, mereka juga diharamkan memakan babi, anjing serta minum arak. Binatang yang dimakan juga akan disembelih dengan sebutan bismillah tetapi dengan bahasa/cara mereka.
- Mereka percaya Po Allah sebagai tuhan utama yang juga disebut tuhan langit. Selain itu mereka juga percaya kepada tuhan tanah yang disebut sebagai Po Junnah. Po Junnah ini seperti manusia biasa iaitu berpakaian dan makan nasi dengan garam. Oleh itu, menjadi “sunnah” para imam untuk makan nasi dengan garam.
Terjadinya Islam Bani ini ialah kerana masalah dakwah yang tidak berterusan sehingga mereka mencipta sendiri ajaran mereka berdasarkan apa yang diajarkan oleh pendakwah sebelum itu.
Maka, wajarlah kita di Malaysia ini mengambil ibrah dari kejadian ini dan tidak membiarkan penganut agama islam terpesong dari ajaran islam yang sebenar. Atas kesedaran inilah pihak berkuasa agama negeri gigih memerangi mana-mana ajaran yang bercanggah dengan islam lebih-lebih lagi yang jelas meragukan malahan ada yang sehingga difatwakan sesat.
Sumber : Wikipedia, Berita Harian, YouTube