‘MALAYSIA MADANI: JIWA MERDEKA’ TEMA HARI KEBANGSAAN, HARI MALAYSIA 2024

PUTRAJAYA, 5 Jun 2024 —–“Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka” dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini, umum Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata, pemilihan tema itu merupakan perlambangan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati serta teguh jati dirinya.

“Jiwa Merdeka menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif,” katanya pada Majlis Pengumuman Logo dan Tema HKHM 2024 di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin.

Mengenai logo HKHM 2024, beliau berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju mengekalkan logo yang sama seperti tahun sebelumnya.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2024 berkata, majlis pengumuman logo dan tema itu bertujuan menguar-uarkan ketetapan pemilihan logo serta tema bersempena dengan sambutan tahun ini.

Beliau berkata, pengumuman itu turut memberi peluang kepada sektor korporat, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan pelbagai pihak lain untuk bersama-sama kerajaan menyemarakkan sambutan HKHM 2024 melalui bahan cetakan tersendiri serta penganjuran program.

Mengenai program sepanjang Bulan Kebangsaan, Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi selaku Jawatankuasa Induk HKHM 2024 telah memulakan gerak kerja sambutan itu dengan pelbagai program yang telah dan akan dilaksanakan di seluruh negara.

Menurutnya, kemeriahan sambutan HKHM 2024 dimulakan dengan penganjuran Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 pada 19 Mei 2024 di Stesen Sentral, Kuala Lumpur, manakala Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 akan diadakan pada 13 Julai 2024.

“Signifikan majlis pelancaran ini adalah bagi mengira detik menuju sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos 2024 di Putrajaya. Seterusnya, momentum kemeriahan dan semangat patriotik akan terus disuburkan sehingga sambutan Hari Malaysia 2024 pada 16 September 2024 di Sabah,” katanya.

Fahmi turut berkongsi program sampingan yang mengisi kalendar sambutan HKHM 2024 iaitu Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang merupakan aktiviti konvoi kenderaan bagi membawa mesej kenegaraan dengan simbolik penyerahan Jalur Gemilang di setiap lokasi perhentian konvoi.

Beliau berkata turut diadakan program Langkah Jiwa Merdeka Bersama Membangun Malaysia Madani, Semarak Gemilang Kita MADANI, Perkampungan Madani, Jiwa Merdeka antara kementerian dan Pentarama Live Jam.

“Perincian bagi semua program bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan ini boleh dirujuk melalui portal rasmi HKHM 2024 www.merdeka360.my” katanya.

Selain itu, Fahmi berkata, aktiviti kibar Jalur Gemilang terus disemarakkan melalui Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang yang disifatkan bertepatan bagi menterjemah semangat patriotik dalam diri serta ahli keluarga.

Untuk tujuan itu, beliau mengajak seluruh rakyat menghiasi kediaman masing-masing dengan bendera yang menjadi identiti di seluruh pelosok dunia.

“Kibarkanlah Jalur Gemilang yang cukup sifatnya, tidak koyak, tidak uzur dan tidak lusuh kerana bendera ialah gambaran diri kita sebagai warganegara yang bertanggungjawab,” katanya. – BERNAMA

 

Artikel/Berita Terkini

GANGGUAN IT: LIMA AGENSI KERAJAAN, SEMBILAN SYARIKAT SWASTA TERJEJAS

Kementerian Digital memaklumkan sebanyak lima agensi kerajaan dan sembilan syarikat swasta terjejas akibat gangguan sistem teknologi maklumat (IT) pada 19 …
Maklumat Lanjut

PENGENDALI WHATSAPP DAN TELEGRAM PERLU BERTANGGUNGJAWAB TANGANI JENAYAH DALAM TALIAN

PENGENDALI WHATSAPP DAN TELEGRAM PERLU BERTANGGUNGJAWAB TANGANI JENAYAH DALAM TALIAN Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil berkata, isu-isu melibatkan dua platform …
Maklumat Lanjut

MANFAAT PEKA B40

Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 atau PeKa B40 adalah inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertujuan untuk untuk …
Maklumat Lanjut