NIAT TUNAI HAJI PUNAH DIPERDAYA ‘SCAMMER’ WANITA

PUTRAJAYA: “Selain menunaikan rukun Islam kelima, niat saya ke Makkah adalah untuk berdoa di depan Kaabah supaya anak yang berdepan penyakit kronik diberi kesembuhan oleh Allah SWT,” kata mangsa penipuan haji sebuah agensi pelancongan yang hanya mahu dikenali sebagai Rose.

Rose, 50-an, berasal dari Klang, Selangor mendakwa, beliau menerima tawaran pakej haji itu melalui seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pengurus sebuah agensi pelancongan melalui Facebook.

“Wanita berkenaan menawarkan pakej haji rendah RM25,000 dengan menyediakan kemudahan pengangkutan persendirian dan tempat tinggal di hotel lima bintang berhampiran Masjidilharam.

“Saya turut dijanjikan visa haji ‘Nusuk’ untuk mengerjakan haji termasuk diberikan kepada dua jemaah wanita yang turut bersamanya menyertai pakej itu.

“Saya berkorban dengan menggadai barang kemas dan menjual sebuah kereta semata-mata untuk mencukupkan duit bagi menyertai pakej haji itu dan tidak kisah bergolok-bergadai kerana yang penting dapat mengerjakan haji dan berdoa ketika di Tanah Suci Makkah demi anak tercinta,” dakwanya lagi.

Rose mendakwa mereka bertiga berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) pada 9 Mei lalu, dengan penerbangan AirAsia, yang disediakan agensi berkenaan.

“Pada awalnya, mereka tidak menyangka akan diperdaya dan apabila tiba di lapangan terbang Madinah, wanita berkenaan tidak muncul setelah beberapa jam menunggu serta gagal dihubungi.

“Ketika itu, barulah sedar ditipu dan apabila menghubungi rakan lain bagi mendapatkan maklumat, mereka menyatakan agensi itu sudah banyak kali melakukan penipuan kepada jemaah Malaysia,” katanya.

Rose yang juga pekerja syarikat swasta berkata, mereka bertiga turut membuat semakan di hotel yang dimaklumkan wanita berkenaan sebelum ini untuk dijadikan sebagai tempat tinggal, namun menghampakan selepas pihak pengurusan menyatakan tiada daftar masuk dan tempahan dibuat oleh pihak berkenaan.

Selepas menyedari ditipu, mereka membuat laporan dengan pihak berkuasa Arab Saudi di Jeddah.

“Sepanjang berada di Tanah Suci kami sempat mengerjakan umrah dengan mengeluarkan duit sendiri untuk membayar hotel, membeli makanan dan kos pengangkutan,” katanya.

Rose berkata, bagi mengelak masalah, mereka membatalkan niat untuk mengerjakan haji dan membeli tiket penerbangan pulang ke Malaysia, RM1,600 setiap seorang, dan selamat tiba di KLIA2 pada 19 Mei lalu.

Menurutnya, siasatan dibuat turut mendapati wanita berkenaan pernah didakwa di mahkamah pada 2023 kerana disyaki memperdaya rakyat Malaysia menerusi modus operandi sama.

“Wanita berkenaan sangat licik kerana sering mempromosi pakej haji dan umrah menggunakan pelbagai nama dan syarikat berbeza termasuk menggunakan gelaran ‘Datuk’,” dakwanya.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …