CHEGU BARD FAIL RAYUAN TERHADAP PERINTAH LARANGAN BERSUARA

KUALA LUMPUR: Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard, memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, di sini, terhadap keputusan dua Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah larangan supaya Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan BERSATU itu, tidak mengeluarkan kenyataan berkaitan kes fitnah dan menghasut dihadapinya.

Peguam bela Chegu Bard, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata pihaknya memfailkan rayuan pada Khamis lalu, namun tarikh pendengarannya masih belum ditetapkan.

“Kita minta arahan daripada Mahkamah Rayuan sama ada keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru dan Kuala Lumpur betul atau tidak daripada segi undang-undang.

“Pada kami kebebasan bersuara walaupun tidak mutlak, ia mesti memberikan cukup ruang kepada seseorang tertuduh,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah di sini hari ini.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen, di sini, Siti Aminah Ghazali, menetapkan 11 Julai ini bagi penyerahkan baki dokumen oleh pihak pendakwaan kepada pembelaan Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan BERSATU berkenaan yang berdepan tuduhan menghasut dan memfitnah.

Pada 14 Mei lalu, Mahkamah Tinggi di sini mengeluarkan perintah terhadap Chegu Bard yang melarangnya mengeluarkan kenyataan atau komen berkaitan kes dihadapinya, manakala Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengeluarkan perintah sama pada 20 Mei lalu.

Pada 29 April lalu, Chegu Bard, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut di laman Facebook miliknya di Taman Bukit Cheras di sini, jam 12.15 tengah hari, 6 April.

Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Badrul Hisham juga membuat pengakuan sama kerana mengeluarkan kenyataan fitnah dengan sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan itu akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara di sini jam 6 petang 22 Januari, mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 30 April lalu, Badrul Hisham mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana mengeluarkan penerbitan menghasut berkaitan projek kasino di Forest City.

Tertuduh didakwa membuat penerbitan menghasut menerusi akaun Facebook miliknya di Mutiara Villa Bukit Bintang, di sini, jam 6.30 petang, 26 April, mengikut seksyen sama.

SUMBER: BERITA HARIAN

Artikel/Berita Terkini

MELAKA BAKAL JADI HAB TEKNOLOGI JERMAN DI ASIA TENGGARA – AB RAUF

Ayer Keroh – Melaka bersedia menjadi pusat pemindahan teknologi Jerman bagi rantau Asia Tenggara menerusi pembangunan Taman Teknologi Jerman (GTP) …
Maklumat Lanjut

𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈?

 𝐀𝐏𝐀 𝐈𝐓𝐔 𝐊𝐀𝐃 𝐏𝐄𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈? Kad digital eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja berdaftar, yang menawarkan pelbagai diskaun sehingga 30% di …
Maklumat Lanjut

SAMBUTAN HARI IBU 2025

𝐇𝐞𝐛𝐚𝐡𝐚𝐧 : 𝐒𝐚𝐦𝐛𝐮𝐭𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐫𝐢 𝐈𝐛𝐮 𝟐𝟎𝟐𝟓 Hari Ibu diraikan di seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua dalam bulan Mei …
Maklumat Lanjut