KEKANG RAWATAN ‘PSIKOLOGI PALSU’

Masalah kesihatan mental dijangka terus membebani rakyat negara ini dengan anggaran peningkatan kes sebanyak 10 peratus menjelang 2025. Berdasarkan Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi 2015, isu kesihatan mental merekodkan trend peningkatan sejak 2005 iaitu dari 11.5 peratus pada tahun berkenaan kepada 29.2 peratus pada 2015 atau kata pakar, tiga daripada 10 rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental. Malangnya, di sebalik unjuran membimbangkan itu, negara masih kekurangan ahli psikologi bertauliah dan doktor psikiatri bagi menampung keperluan. Ketiadaan akta khusus bagi mengawal selia perkhidmatan perubatan terbabit memburukkan lagi masalah kerana pada masa ini hampir siapa sahaja boleh menawarkan bantuan kaunseling dan rawatan psikologi kepada pesakit.

Pakar psikologi dan pensyarah kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, bantuan perkhidmatan yang diberikan oleh mereka tanpa tauliah itu diistilahkan sebagai pseudopsikologi atau ‘psikologi palsu’ iaitu penggunaan istilah psikologi, namun tiada bukti saintifik. Lebih buruk lagi, ‘rawatan’ yang diberikan boleh memudaratkan psikologi penghidap untuk jangka panjang. Menurut beliau, pada masa ini, pseudopsikologi ditawarkan secara meluas di negara ini memandangkan wujud jurang besar di antara jumlah penyedia perkhidmatan bertauliah dan permintaan. “Mereka (penghidap masalah mental) memerlukan literasi dan sokongan profesional untuk membantu (mereka), namun jumlah (pakar bertauliah) agak terhad. Sekarang hanya (ahli) psikiatri serta beberapa profesion menolong seperti kaunselor, ahli psikologi klinikal, pekerja sosial diaktifkan (ditauliahkan) melalui akta. Namun, bagi ahli serta pakar psikologi lain, mereka tidak dapat berperanan secara aktif kerana pemerkasaan kerjaya mereka (melalui penguatkuasaan undang-undang) tidak berlaku,” jelas Shazli Ezzat yang juga Presiden Bakal Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) kepada Bernama.

Ditanya mengenai perbezaan antara akta kaunselor dan psikologi, Shazli Ezzat berkata, akta kaunselor hanya tertakluk kepada profesion kaunselor yang fungsinya lebih bertumpu pada intervensi kepada masalah biasa masyarakat. Akta psikologi pula adalah lebih luas kerana berperanan melindungi pakar dan pesakit daripada terpedaya dengan perkhidmatan pseudopsikologi. Mengulas lanjut, Shazli Ezzat berkata, secara ringkas, akta terbabit bertujuan mengawal selia perilaku pengamal dan melindungi ahli masyarakat yang menerima perkhidmatan itu. Menurut beliau, gesaan supaya diwujudkan akta psikologi bermula pada 2009 menerusi PSIMA, namun disebabkan isu kesihatan mental dilihat tidak begitu penting pada ketika itu, syor berkenaan tidak diketengahkan oleh penggubal undang-undang. Jelas beliau lagi, pewujudan undang-undang khusus berkait psikologi akan secara langsung menjaga kepentingan masyarakat secara menyeluruh menerusi pembendungan masalah tingkah laku serta memberi ruang meningkatkan aktiviti melatih kemahiran psikologi seperti bantuan kecemasan psikologi, kecemasan kesihatan mental, strategi daya tindak, pengurusan emosi dan tekanan. Beliau juga percaya pelaksanaan akta psikologi akan dapat membantu pakar psikologi bertauliah memberikan perkhidmatan intervensi kepada pesakit, secara tidak langsung melindungi masyarakat daripada menerima perkhidmatan psedupsikologi, sekali gus membantu mengawal isu masalah kesihatan mental di negara ini daripada terus membarah.

Sumber: MyMetro, 7 Mei 2024

Artikel/Berita Terkini

BINA BENTENG ATASI BANJIR BERULANG DI KAMPUNG BELIMBING DALAM

Durian Tunggal – Masalah banjir kerap melanda Kampung Belimbing Dalam mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗝𝗨𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗛 𝗠𝗔𝗗𝗔𝗡𝗜

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Program Jualan …
Maklumat Lanjut