SINDIKET TIPU PELABURAN FOREX, KRIPTO TUMPAS, RM51.2 JUTA DISITA

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Sindiket penipuan pelaburan forex GHC dan mata wang kripto tumpas dengan penahanan lapan lelaki dan dua wanita warga tempatan dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Kelang dari 13 hingga 21 Mei 2024.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kesemua suspek berusia lingkungan 28 hingga 51 tahun ditahan reman tiga hingga tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau berkata dalam siri serbuan terbabit, polis turut menyita antaranya 129 keping geran kenderaan dengan nombor pendaftaran eksklusif bernilai RM18 juta, 75 jam tangan berjenama bernilai RM10 juta, 18 kenderaan mewah pelbagai jenama bernilai RM8 juta, 203 motosikal berharga RM406,000, wang tunai RM503,000, 10 beg tangan bernilai RM90,000 dengan jumlah keseluruhan pembekuan dan penyitaan berjumlah RM51.2 juta.

“Berdasarkan soal siasat, sindiket penipuan pelaburan forex GHC dan mata wang kripto ini mula beroperasi sekitar tahun 2017 yang berpengkalan di sebuah negara asing.

“Sindiket ini telah memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram dari negara asing berkenaan ke Malaysia menggunakan pengurup wang tidak berdaftar serta transaksi-transaksi matawang kripto untuk mencuci wang tersebut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Razarudin berkata hasil siasatan mendapati sindiket itu menjalankan aktiviti pengubahan wang haram menggunakan kaedah seperti melakukan urusan jual/beli nombor pendaftaran eksklusif dan klasik bernilai tinggi, jual/beli jam tangan berjenama mewah di kedai jam di Bukit Jalil dan melaburkan wang dalam perladangan buah durian seluas 100 ekar di Pahang.

“Selain itu, sindiket tersebut turut menggunakan pengurup wang tidak berdaftar bagi menukarkan mata wang kripto kepada tunai sebagai modus operandi bagi mengaburi mata pihak penguatkuasa undang-undang.

“Wang hasil aktiviti haram ini juga digunakan untuk membeli hartanah di dalam Malaysia yang masih lagi sedang dikesan,” katanya.

Razarudin mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti mencurigakan dan memberi kerjasama dalam menyalurkan maklumat mengenai jenayah pengubahan wang haram.

– BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

NEGERI SEMBILAN SUDAH BERSEDIA HADAPI KEMARAU

Kerajaan Negeri Sembilan sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan cuaca panas dan kering yang dijangka melanda berterusan hingga hujung bulan depan …
Maklumat Lanjut

ISU PADI DAN BERAS NEGARA: DI MANA PENGHUJUNGNYA?

Pengenalan Padi atau nama saintifiknya oryza sativa merupakan tanaman utama dalam sektor pertanian Malaysia dan sumber asas kepada penghasilan beras, …
Maklumat Lanjut

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ TEMA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA (HKHM) 2025

‘𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐌𝐀𝐃𝐀𝐍𝐈: 𝐑𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭 𝐃𝐢𝐬𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐢’ merupakan tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 yang menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan …
Maklumat Lanjut