KOTA KINABALU: Seekor buaya berukuran lebih tiga meter berjaya ditangkap selepas cuba menyerang seorang kanak-kanak di perairan Kampung Lok Baru, Pulau Gaya, di sini, petang tadi.
Reptilia seberat kira-kira 200 kilogram itu ditangkap oleh penduduk kampung menggunakan kaedah jerut ke atas buaya berkenaan, kira-kira jam 4 petang.
Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Leftenen (PA) Ezra Daniel Gandui berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kes buaya di kampung berkenaan.
“Susulan itu, lapan anggota termasuk tiga pegawai digerakkan ke lokasi kejadian dadi Menara Penyelamat Pantai (MPP) Tanjung Aru ke Kampung Lok Baru, Pulau Gaya.
Anggota APM dibantu penduduk kampung mengangkat buaya untuk diserahkan kepada JHL Sabah.
“Setiba di lokasi, seekor buaya tembaga berjaya ditangkap oleh penduduk kampung menggunakan kaedah jerut.
“Buaya sepanjang lebih tiga meter dan berat hampir 200 kilogram diikat oleh anggota APM sebelum dibawa ke MPP Tanjung Aru menggunakan bot,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini.
Ezra berkata, kehadiran buaya itu disedari oleh seorang kanak-kanak yang sedang mandi laut di Kampung Lok Baru.
“Buaya itu dikatakan cuba menyerang kanak-kanak terbabit namun dia sempat menyelamatkan diri naik ke darat dan memaklumkan kepada penduduk kampung.
“Hampir sejam penduduk kampung mencari dan akhirnya buaya itu berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada APM,” katanya.
Buaya seberat 200 kilogram yang berjaya ditangkap di Kampung Lok Baru, Pulau Gaya, Kota Kinabalu.
Menurutnya, buaya itu tiba di MPP Tanjung Aru, kira-kira jam 7.05 malam sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.
Sementara itu, beliau turut menasihati pengunjung di pantai Tanjung Aru supaya lebih berwaspada ketika berada di sekitar kawasan berkenaan.
#MalaysiaMadani
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#MKNSabah
Sumber: Info X